Ahad, 18 November 2018 | 6:16pm
SEBAHAGIAN penyokong dan perwakilan bersorak selepas diumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang jawatan Timbalan Presiden PKR pada Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Anggota PKR perlu akur teguran Presiden

SHAH ALAM: Anggota PKR perlu akur dengan setiap teguran Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memastikan agenda reformasi terus diperjuangkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, setiap ayat dalam ucapan Ahli Parlimen Port Dickson itu menuntut anggota memberi komitmen tinggi kepada parti.

“Ini adalah ucapan yang amat kami nantikan sejak sekian lama. Ada teguran yang diberi kepada anggota parti. Kita perlu ambil serius apa gesaan beliau untuk parti kembali bersatu.

“Jangan ada puak-puak lagi, balik kepada prinsip. Saya mengharapkan Anwar akan memimpin dengan tegas. Sebagai Presiden yang baharu, kami mahukan kepemimpinan yang akan merapatkan saf ahli,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketua PKR Cabang Tuaran, Dausil Kundayong, berkata, anggota parti perlu memahami setiap bait ucapan Anwar kerana ia adalah nasihat dan peringatan yang harus dipatuhi.

“Saya memang terkesan dengan ucapan beliau, lebih-lebih lagi selepas parti melalui proses pemilihan baru-baru ini. Pelbagai isu timbul disebabkan pemilihan dan saya merasakan ucapan beliau menjadi tanda noktah kepada masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Srikandi PKR Cabang Cheras, Sharifah Syahirah Syed Shikh, berkata, anggota parti selepas ini perlu memulakan gerak kerja meraih kembali keyakinan rakyat selepas menjalani proses pemilihan yang panjang.

“Intipati ucapan Presiden meminta kita kembali bersatu, tiada lagi kem atau puak. Kita perlu kembali kepada agenda reformasi seperti yang dilaungkan selama ini,” katanya.

Anwar dalam ucapan selepas dinobatkan sebagai Presiden PKR yang baru hari ini, menegur anggota parti itu supaya lebih berdisiplin dan kembali bersatu.

Beliau berkata, tiada tempat untuk mana-mana individu dalam PKR jika melanggar disiplin, sekali gus memburukkan imej parti.

Berita Harian X