Ahad, 18 November 2018 | 1:33pm
TIAN Chua menggulung ucapan dasar presiden pada Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Shah Alam. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Ahli baharu perlu tunggu dua tahun untuk bertanding - Tian Chua

SHAH ALAM: PKR disaran menetapkan syarat bahawa setiap individu yang baru menyertai parti itu dan bercita-cita ingin menjadi pemimpin supaya menunggu sehingga sekurang-kurangnya dua tahun selepas menjadi ahli.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata perkara itu juga mesti dinyatakan dalam perlembagaan parti.

“Mereka yang mempunyai cita-cita dan bermimpi untuk memegang jawatan dalam parti, kita mesti menetapkan dalam perlembagaan kita bahawa mereka hanya layak selepas dua tahun.

“Kami tidak merasakan ia adalah masa yang panjang (dua tahun). Sekiranya kita menunggu 20 tahun untuk memegang jawatan, ahli baharu, dua tahun tidak lama,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam ucapan penggulungan Naib Presiden pada Kongres Nasional PKR ke-13, di sini, hari ini.

Beliau turut mencadangkan supaya setiap ahli yang layak mengundi adalah mereka yang sudah mendaftar sekurang-kurangnya setahun menjadi ahli parti itu.

“Mereka harus membudayakan diri dalam suasana parti sebelum mereka mengambil bahagian dalam mengundi memilih pimpinan,” katanya.

Selain itu, Tian Chua turut menyarankan supaya diadakan satu peperiksaan kepada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan.

“Mungkin kita harus mengadakan peperiksaan bagi mereka yang mempunyai cita-cita menjadi ahli MPP dan bertanding (untuk tempat). Mungkin melalui peperiksaan kami boleh menganugerahkan sijil.

“Mereka yang tidak lulus mungkin tidak mendapat watikah (surat pelantikan). Saya berharap rakan-rakan saya akan bersabar dalam perjuangan, ” katanya.

Berita Harian X