Sabtu, 10 November 2018 | 5:11pm
WAN Saiful (tengah) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan GPMS Wilayah Persekutuan 2018, hari ini. - NSTP/Mahzir Mat Isa
WAN Saiful (tengah) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan GPMS Wilayah Persekutuan 2018, hari ini. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Ahli BERSATU perlu bersikap besar hati terima ahli baharu

KUALA LUMPUR : Pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dinasihatkan bersikap besar hati menerima kemasukan ahli baharu.

Timbalan Pengerusi Strategi Dan Dasar BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, berkata tindakan itu untuk membolehkan parti terus berkembang menjayakan agenda untuk bangsa, agama dan negara.

“Kita perlu terima hakikat minat untuk orang menyertai BERSATU amat besar, ketika ini.

“Kita (ahli), terutama orang lama-lama perlu bersikap besar hati untuk terima ahli baharu. Itulah cara untuk kita (parti) berkembang,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan 2018, di ASWARA, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan temubual Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa ada pemimpin BERSATU yang dilantik memegang jawatan bertindak menyelamatkan diri dengan tidak membenarkan orang lain menyertai BERSATU.

Wan Saiful berkata, desas desus rungutan sudah kedengaran daripada ahli akar umbi dan mereka yang berminat menyertai parti.

“Ada dakwaan menyatakan ada pimpinan sekarang yang pegang jawatan tidak membuka ruang untuk orang baharu masuk. Ahli Majlis Tertinggi BERSATU dan badan pimpinan negeri sedang menguruskan perkara ini,” katanya.

Ketika ditanya adakah ia petanda pergolakan dalam BERSATU, Wan Saiful, berkata beliau menyifatkan bibit pergolakan itu sebagai proses peralihan.

“Ada beberapa proses adaptasi yang perlu berlaku (dalam kalangan ahli lama) untuk menerima ahli keluarga baharu. Ada orang masuk perjuangan parti sebelum pilihan raya, ada orang masuk parti selepas pilihan raya.

“Itu cuma proses peralihan. Kita cuba uruskan dengan baik sekarang ini,” katanya.

Ketika ditanya ‘keintiman’ BERSATU dengan GPMS, Wan Saiful memberi bayangan GPMS penting dalam perjuangan untuk orang Melayu.

“Saya menghormati kebebasan yang dimiliki persatuan pelajar. GPMS adalah satu entiti yang ada idealisme sendiri.

“Bagi saya, dia setuju dengan pandangan politik saya atau tidak, itu tidak penting. Dia (GPMS) ada pandangan, saya kena hormati pandangan itu. Kalau saya menafikan pandangan mereka, saya tidak ada bezanya dengan orang sebelum ini,” katanya.

Ketika ditanya spekulasi BERSATU cuba merisik GPMS sebagai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) parti politik itu, Wan Saiful, enggan mengulas lanjut.

“Tiada masalah sama ada UMNO, PAS, DAP, PKR atau tiada parti. Kalau dia menghayati semangat sebenar di sebalik pertubuhan gabungan pelajar anak muda, parti politik mana yang diwakili bukan satu isu,” katanya.

Berita Harian X