Rabu, 31 Oktober 2018 | 3:03pm
PENSYARAH Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis. - Foto Faiz Anuar
PENSYARAH Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis. - Foto Faiz Anuar

Pikat MP UMNO untuk majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) cuba melobi Ahli Parlimen UMNO untuk membolehkan Pakatan Harapan (PH) memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata BERSATU atau parti komponen PH akan terus membuat tawar menawar untuk merealisasikan matlamat itu.

Katanya, ia untuk memperkukuhkan kedudukan dan ‘suara’ di Parlimen, selain memudahkan urusan perlembagaan dan pindaan undang-undang, seperti ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Taktik (strategi) politik adalah nombor (majoriti), mengenai parti mana yang paling banyak kerusi.

“Kalau tidak dapat majoriti kukuh, tawar menawar akan terus berlaku untuk meningkatkan jumlah majoriti (sokongan) dengan menyertai (parti) kerajaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Majlis Pimpinan BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, yang 40 Ahli Parlimen UMNO akan menyertai BERSATU.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa turut mengesahkan berlaku tawar menawar , jemputan dan ada antara Ahli Parlimen UMNO dirisik untuk menyertai BERSATU, pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memiliki hanya 14 kerusi di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mujibu tidak menolak dakwaan itu sebagai satu provokasi Kadir Jasin untuk ‘memecah-belahkan’ UMNO.

Beliau turut berpandangan ada kemungkinan lain yang boleh dipertimbangkan melalui dakwaan itu, iaitu penghijrahan Ahli Parlimen UMNO kepada PKR, parti komponen PH.

“Masa depan negara di tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada yang cadangkan, kalau sertai BERSATU, kenapa tidak sertai PKR?

“Realitinya, penghijrahan dalam UMNO tidak akan menentukan survival masa depannya selagi Presiden mereka terus diasak (pendakwaan),” katanya.

Ketika ditanya apa nasib UMNO selepas ini, Mujibu berkata, UMNO akan memikirkan strategi baharu kerana berpengalaman luas dalam arena politik tanah air.

“UMNO tahu kalau bertindak sendiri, dia tidak menang apa-apa,” katanya.

Mujibu berkata, PH akan berdepan masalah besar kalau tidak menjemput UMNO menyertai mereka, susulan kerjasama longgar antara parti komponen PH, khususnya DAP.

“Pengaruh Melayu, Bumiputera masih bersama UMNO. Isyarat menunjukkan PH diterima di Semenanjung tetapi isyarat di Sabah dan Sarawak berbeza ,” katanya menegaskan sukar meyakinkan parti komponen PH untuk menerima UMNO sebagai rakan sekutu.

Sementara itu, Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, mengakui PH akan mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat jika 40 Ahli Parlimen UMNO lompat parti.

“Jumlah majoriti (PH) di Parlimen akan berubah banyak. Kesan (lompat parti) terhadap undang-undang tidak signifikan kerana Malaysia belum menggubal Undang-Undang Anti Lompat Parti,” katanya.

Mengulas spekulasi dakwaan itu untuk menyekat usaha Anwar diangkat Perdana Menteri ke lapan, Nik Ahmad Kamal menegaskan ia berkemungkinan muslihat memecah-belahkan parti pimpinan Melayu.

“(Dakwaan) Halang Anwar jadi PM, hanya spekulasi, untuk menimbulkan syak wasangka antara BERSATU - PKR dan Dr Mahathir - Anwar.

“Bila ada spekulasi, khabar angin, suasana dalam kerajaan tidak harmoni dan syak wasangka terus berpanjangan,” katanya.

Nik Ahmad Kamal yakin Dr Mahathir tidak mudah termakan umpan spekulasi, yang kemasukan beramai-ramai Ahli Parlimen UMNO adalah untuk menyekat kemaraan Anwar dalam politik.

“Dr Mahathir terlalu dewasa dalam politik dan dia tahu apa yang dia cakap dan janji sebelum ini,” katanya.

Berita Harian X