Selasa, 30 Oktober 2018 | 1:52pm
Pengerusi PH Terengganu (PH), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Pengerusi PH Terengganu (PH), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ada lagi MP UMNO sertai PH - Raja Kamarul Bahrin

KUALA LUMPUR : Pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) memberi bayangan ada Ahli Parlimen UMNO dari Pantai Timur, selain Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menyertai parti itu dalam masa terdekat.

Pengerusi PH Terengganu (PH), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, menjangkakan kemungkinan berlaku pergerakan atau penghijrahan Ahli Parlimen UMNO kepada PH, selepas sesi pembentangan Bajet 2019, Jumaat ini.

“Ada desas desus, mungkin ada lagi (Ahli Parlimen) akan bersama kita (PH). Di negeri, kita ada dengar (Ahli Parlimen UMNO lompat parti). Kita dimaklumkan ada gerakan, risik bersama (tawar menawar).

“Kita tunggu dan lihat selepas Bajet,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Rumah Mampu Milik untuk M40, antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan pemaju, TS Asia Ventures Sdn Bhd.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Ahli Majlis Pimpinan BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, yang mendedahkan 40 Ahli Parlimen UMNO akan menyertai BERSATU.

Ketika ditanya lanjut sama ada individu dimaksudkan yang mungkin lompat parti adalah dua Ahli Parlimen UMNO dari Terengganu, Raja Kamarul Bahrin enggan mengulas lanjut.

Beliau sebaliknya berkata kenal rapat dengan kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan, yang disifatkan sebagai ‘rakan bermain bola sepak’.

Raja Kamarul Bahrin, yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yakin Ahli Parlimen berkenaan mahu berkhidmat kepada rakyat.

“Mereka semua (Ahli Parlimen) perlu melihat dari segi kepentingan umum untuk membina semula Malaysia. Kita perlu kerja lebih kuat lagi untuk capai matlamat 2020 yang tertangguh.

“Saya yakin bukan saja PH, UMNO juga berhasrat untuk mencapai sasaran (bina negara), untuk kepentingan bersama,” katanya.

Berita Harian X