Isnin, 29 Oktober 2018 | 7:10pm
PENGERUSI Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Shah Alam, pada Januari lalu. - Arkib NSTP
PENGERUSI Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Shah Alam, pada Januari lalu. - Arkib NSTP

BERSATU boleh jadi parti dominan dalam PH

KUALA LUMPUR: Penyertaan beramai-ramai Ahli Parlimen UMNO dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat dapat menjadikan ia parti dominan dalam Pakatan Harapan (PH).

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata bagaimanapun dalam kamus PH tidak ada perkataan siapa dominan dalam gabungan parti itu sekali gus menimbulkan bibit yang kurang senang membabitkan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Beliau berkata, selama ini apa yang menjadi pegangan PH adalah semua parti dalam gabungan itu sama dan tiada perbezaan.

“Apabila tiba-tiba 40 orang (Ahli Parlimen) yang akan masuk (BERSATU) memberi persepsi seolah-olah BERSATU akan jadi BN 2.0. Maksudnya akan jadi satu parti yang dominan dalam PH.

“Dalam UMNO dulu, parti itu yang dominan dalam BN (Barisan Nasional) dan mengawal BN. Dalam PH pula, PKR, DAP dan AMANAH mereka kata tidak ada konsep siapa yang dominan kerana masing-masing adalah equal (sama).

“Jadi, PKR, DAP dan AMANAH tidak seharusnya memandang negatif berikutan langkah ini adalah satu strategi (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) mendapat sokongan di Parlimen. Sebenarnya, kalau Ahli Parlimen masuk BERSATU... pertamanya kerajaan akan jadi kuat dengan dua pertiga majoriti,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, seramai 40 Ahli Parlimen UMNO dipercayai akan meninggalkan parti itu bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak lama lagi seperti yang didedahkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, melihat ‘penghijrahan’ Ahli Parlimen UMNO dalam BERSATU sebagai langkah kanan yang dapat membantu untuk mereformasikan kerajaan apabila memerlukan ‘persetujuan’ dengan majoriti dua pertiga.

Beliau percaya, senario lompat parti bukan gerakan untuk menyekat pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PH kerana Dr Mahathir seorang patuh kepada perjanjian.

“Ramai Ahli Parlimen UMNO lompat masuk BERSATU kerana kedua-dua parti itu memiliki perjuangan yang mirip ada cuma berbeza sedikit.

“BERSATU lebih terbuka, manakala UMNO lebih kepada agak konservatif. Kalau mahu pilih PKR, parti itu konteksnya pula lain sikit kerana ada tiga gabungan dalamnya merangkumi bekas NGO (badan bukan kerajaan), bekas orang UMNO dan bekas orang ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia),” katanya.

INFO

Pecahan terkini jumlah Ahli Parlimen berdasarkan parti

Pakatan Harapan (117)

PKR - 50

DAP - 42

BERSATU - 14

AMANAH - 11

WARISAN - 9

UPKO - 1

Barisan Nasional (51)

UMNO - 48

MIC - 2

MCA - 1

PAS - 18

Gabungan Parti Sarawak (19)

PBB - 13

PRS - 3

PDP - 2

SUPP - 1

PBS - 1

PBRS - 1

STAR - 1

Bebas - 4

Berita Harian X