Ahad, 21 Oktober 2018 | 9:46pm
DATUK Seri Azmin Ali sewaktu hadir untuk membuat pengundian pada Pemilihan PKR Selangor untuk Cabang Gombak di Dewan Sri Siantan, Selayang, hari ini. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Azmin Ali sewaktu hadir untuk membuat pengundian pada Pemilihan PKR Selangor untuk Cabang Gombak di Dewan Sri Siantan, Selayang, hari ini. - Foto BERNAMA

Pemilihan PKR: Azmin masih dahului Rafizi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali setakat ini masih mendahului saingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR walaupun diekori rapat pesaingnya yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Berdasarkan keputusan semasa, Azmin yang juga penyandang jawatan itu mendahului Rafizi dengan margin sebanyak 1,123 undi.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperoleh 35,415 undi, manakala Rafizi mendapat 34,296 undi.

Undi yang diperoleh kedua-dua calon setakat ini adalah berdasarkan keputusan muktamad di Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Johor dan Perlis.

Ia juga termasuk keputusan pengundian bagi fasa pertama di Selangor yang merangkumi lapan cabang PKR negeri itu.

Keputusan itu juga mengambil kira hasil penjumlahan undi Negeri Sembilan, Melaka, fasa kedua Selangor dan Perlis.

Bagaimanapun, ia bukan keputusan rasmi dan akan dimuktamadkan selepas undi ragu diproses.

Fasa pertama pemilihan di Selangor membabitkan sembilan cabang pada 14 Oktober, menyaksikan Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor mendahului dengan memperoleh 9,337 undi sementara Rafizi yang juga Naib Presiden PKR meraih 8,563 undi.

Azmin mendapat sokongan daripada enam cabang, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja dan Sepang manakala Rafizi memperoleh sokongan daripada tiga cabang iaitu Hulu Selangor, Kelana Jaya dan Kapar.

Fasa kedua pemilihan PKR di Selangor berlangsung hari ini membabitkan lebih 83,000 anggota parti daripada tujuh daripada keseluruhan 22 cabang di negeri itu.

Tujuh cabang berkenaan ialah Puchong, Gombak, Petaling Jaya (PJ) Utara, PJ Selatan, Kuala Langat, Klang dan Selayang.

Pemilihan fasa kedua menyaksikan Azmin memperoleh 4,978 undi sekali gus menewaskan Rafizi yang mendapat 4,385 undi.

Dalam pada itu, persaingan pada peringkat cabang menyaksikan Menteri Besar, Selangor Amirudin Shari, dipilih sebagai Ketua Cabang Gombak yang baharu apabila menewaskan pencabarnya, Datuk Mohamed Nizam Md Saad dengan memperoleh 1,116 undi.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar pula dipilih sebagai Ketua Cabang Kuala Langat yang baharu selepas menewaskan tiga pencabarnya dengan memperoleh 1,481 undi, sementara Exco kerajaan Selangor, Hee Loy Sian memenangi jawatan Ketua Cabang PJ Selatan apabila menewaskan Syamsul Firdaus Mohamed Supri dengan memperoleh 568 undi.

Berita Harian X