Sabtu, 13 Oktober 2018 | 3:13pm
LEFTENAN Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar beramah mesra dengan pengundi ketika meninjau suasana hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman
LEFTENAN Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar beramah mesra dengan pengundi ketika meninjau suasana hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

PAS yakin dapat sokongan pengundi Melayu

KOTA BHARU: PAS yakin pengundi Melayu akan memilih calon parti itu, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini.

Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata beliau percaya pengundi Melayu akan setia kepada parti itu dengan memberi undi mereka kepada calon PAS.

“Masa pembuangan undi masih berbaki beberapa jam lagi. PAS memang berharap nasib akan menyebelahi parti kami tetapi semua itu ketentuan Ilahi.

“Jika kami tewas, kami akan menerima dengan hati terbuka kerana jentera pilihan raya kami telah berusaha sebaik mungkin untuk membantu calon parti kami,” katanya.

Ahmad Fadhli yang juga ketua Pemuda PAS Kelantan berkata sasaran PAS ialah untuk melihat setakat mana perubahan sikap dalam kalangan pengundi Islam terhadap isu semasa dalam negara.

Seramai 68,317 pengundi layak menunaikan kewajipan pada PRK Parlimen Port Dickson hari ini.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar; dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Calon Bebas lain adalah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong; pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Berita Harian X