Ahad, 7 Oktober 2018 | 8:53pm
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) ketika sidang media bersama calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson, Mohd Nazari Mokhtar (kanan) di Markas PAS, Teluk Kemang, hari ini. - Foto BERNAMA
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) ketika sidang media bersama calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson, Mohd Nazari Mokhtar (kanan) di Markas PAS, Teluk Kemang, hari ini. - Foto BERNAMA

Hadi mahu forum bersama Dr M

PORT DICKSON: PAS berharap dapat mengadakan forum bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, sempena kehadirannya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, esok.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata demikian ketika ditanya sama ada kehadiran Perdana Menteri esok disebabkan tindakan beliau yang turut membantu calon PAS.

“Itu terpulang kepada PM (Perdana Menteri) sendiri. Saya tak jadi masalah. Kalau (diadakan) forum dengan PM lagi bagus,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; dan Calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Cadangan forum itu kemudian disambut oleh Takiyuddin sambil berkata: “Kita tawarkan (forum bersama Perdana Menteri),” katanya.

Jumaat lalu, Dr Mahathir selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjelaskan keputusannya untuk turun berkempen pada PRK Port Dickson sekali gus menepis dakwaan hubungannya dengan calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dingin.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Berita Harian X