Ahad, 30 September 2018 | 3:51pm
KETUA Penerangan Wanita UMNO Sabah, Datuk Redonah Bahanda. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Segerakan EGM turunkan kuasa autonomi UMNO Sabah

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menurunkan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah perlu disegerakan untuk masa depan parti itu di Negeri di Bawah Bayu.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah, Datuk Redonah Bahanda, berkata kuasa autonomi penting kerana negeri itu berbeza dengan Semenanjung yang majoriti ahlinya Melayu dan beragama Islam.

Beliau berkata, UMNO bertapak di Sabah untuk menggantikan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang memperjuangkan semua kaum dan agama.

“Terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan penurunan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah dalam Ucapan Dasar Presiden, malam tadi.

“Pengumuman itu dinanti-nantikan pemimpin dan ahli UMNO di Sabah,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi mengumumkan sudah sampai masanya beberapa dasar penurunan kuasa istimewa politik dilaksanakan untuk negeri Sabah.

Pada 25 September lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor menyerahkan memorandum kepada Ahmad Zahid berhubung penurunan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah.

Perkara berkaitan autonomi itu perlu dilaksanakan secara formal dan dimasukkan dalam Perlembagaan UMNO menerusi EGM.

Memorandum turut mencakupi hasrat parti itu untuk menyertai Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Berita Harian X