Sabtu, 29 September 2018 | 4:04pm
KETUA Penerangan Wanita UMNO Sabah, Datuk Redonah Bahanda. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

UMNO Sabah 'lumpuh' tanpa autonomi

KUALA LUMPUR: Penurunan kuasa autonomi mutlak kepada UMNO Sabah perlu disegerakan bagi mengelak parti itu ‘lumpuh’ di Negeri di Bawah Bayu.

Ketua Penerangannya, Datuk Redonah Bahanda, berkata UMNO Sabah perlu berdiri sendiri tanpa melepaskan ikatan politik dengan UMNO Pusat.

“Wanita UMNO Sabah menyambut baik keputusan bijak kepemimpinan UMNO Pusat untuk mempertimbangkan penurunan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah.

“Walaupun UMNO Sabah diberi kuasa autonomi, ia akan kekal bertapak di negeri itu. UMNO Sabah akan diberikan kuasa autonomi untuk menentukan dasar perjuangan parti tanpa terikat dengan keputusan di peringkat Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul politik pada Persidangan Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Rabu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam wawancara eksklusif bersama NSTP memberi jaminan UMNO Pusat mempertimbangkan penurunan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah.

Redonah yang juga Ketua Wanita UMNO Kota Marudu, berkata Wanita UMNO Sabah berharap Ahmad Zahid membuat pengumuman penting dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018 berhubung penurunan kuasa autonomi berkenaan.

Katanya, Wanita UMNO Sabah juga mengingatkan sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti politik hendaklah mengambil kira kepentingan UMNO negeri itu.

“Jangan dipinggirkan Sabah dalam segala pelan pembangunan masa depan UMNO, termasuk spekulasi media kononnya ada cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan antara UMNO dengan parti politik dalam kerajaan,” katanya.

Redonah berkata, Wanita UMNO Sabah terus kekal bersama UMNO Pusat selagi parti itu dirangka dalam struktur dan pelan pembangunan yang mampu mewujudkan kesejahteraan dan kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Perlu diingat bahawa UMNO sekarang adalah parti pembangkang. Dalam sejarah politik Sabah, setiap parti yang sudah kalah tidak akan dapat bangkit dan memerintah kembali.

“Itu sejarah. Wanita UMNO Sabah mahu mengubah sejarah itu. UMNO Sabah harus bangkit kembali dan memerintah. Itu sasaran jangka pendek kami,” katanya.

Berita Harian X