Sabtu, 29 September 2018 | 2:48pm

Biarlah Dr Mahathir tadbir negara sampai habis tempoh - Hadi

KUALA NERANG: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya melepaskan jawatan hanya kerana ingin memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya Perdana Menteri perlu diberi peluang mentadbir negara sehingga tamat penggal.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata sebarang usaha termasuk tindakan Anwar selaku Ketua Umum PKR mahu mengambil alih tampuk pentadbiran daripada Dr Mahathir tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas melanggar moral politik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata semua pihak sepatutnya menghormati suara rakyat yang sudah diputuskan melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan mengekalkan kepemimpinan sedia ada.

“Biarlah Dr Mahathir tadbir negara sampai habis tempoh... walaupun kami tak sebati tapi jangan berhenti tengah jalan takkan baru beberapa bulan sudah nak turun, ia tidak mengikut moral politik sepatutnya.

“Saya lebih suka Perdana Menteri sekarang jalankan tugas, beliau nak buat pembetulan sebab beliau mampu untuk mentadbir dan ada banyak pengalaman, ” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) kali ke-14, di sini.

Anwar bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dalam pertandingan membabitkan tujuh penjuru, 13 Oktober ini untuk kembali sebagai Ahli Parlimen sebagai laluan baginya menjadi Perdana Menteri, sekali gus menggantikan Dr Mahathir.

Pada masa sama, Abdul Hadi berkata, pengundi di Port Dickson diminta bijak membuat keputusan dengan tidak memilih calon yang terlalu bernafsu dan ghairah untuk menjadi pemimpin kerana individu seperti itu dikhuatiri gagal memikul amanah diberikan.

“Orang yang sangat bernafsu ini tidak boleh jadi pemimpin sebab nafsu dia nak jadi pemimpin bukan nak pikul amanah... sebenarnya kita sendiri mengharapkan tiada PRK seperti ini, ” katanya.

Mengulas gerak kerja PAS dalam PRK Port Dickson, Abdul Hadi berkata wujudnya kerjasama dengan UMNO dalam pilihan raya kali ini seperti yang diamalkan pada PRK Seri Setia dan Balakong khususnya dalam berdepan situasi pecah undi yang datang daripada lima calon bebas.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama bagi membantu memberi kemenangan buat calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, khususnya daripada UMNO.

“Apabila UMNO tak letak (calon) tetapi PAS letak calon bermakna ia adalah kerjasama cuma dari segi gerak kerja kita tak tahu lagi tetapi kalau orang UMNO nak tolong kita alu-alukan.

“Lagipun dalam pilihan raya, kita tak boleh hanya mengharapkan undi daripada PAS untuk menang, kena dapatkan undi daripada parti lain juga.

“Kita tak pelik tujuh penjuru sebab sebelum ini pernah berdepan 15 penjuru pada PRK Bukit Selambau pada 2009 lalu dan tidak mustahil kita menang sebab sejarah membuktikan PAS pernah menewaskan Dr Mahathir pada 1969 lalu di kerusi Parlimen Kota Setar Selatan, ” katanya.

DATUK Seri Abdul Hadi Awang ketika mengadakan sidang media pada majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum kali ke-14 di Kuala Nerang. - Foto Amran Hamid
DATUK Seri Abdul Hadi Awang ketika mengadakan sidang media pada majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum kali ke-14 di Kuala Nerang. - Foto Amran Hamid
Berita Harian X