Jumaat, 28 September 2018 | 5:42pm
ABDUL Hadi Awang
ABDUL Hadi Awang

PAS tak kecil hati

MARANG: PAS tidak berkecil hati dengan keengganan UMNO membantu kempen calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagaimanapun berkata parti itu mengharapkan ahli dan penyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO dapat memberi undi kepada calon mereka.

Beliau berkata, momentum gelombang positif hasil kerjasama PAS dan UMNO pada PRK Sungai Kandis dan Seri Setia diharap berlanjutan di Port Dickson, walaupun UMNO mengumumkan memboikot PRK itu serta enggan membantu kempen calon PAS.

“Bukan semua pemimpin UMNO sepakat. Ada yang setuju dengan Presiden dia, ada yang tak setuju.

“Kita harap undi kita tak pecahlah, yang pecah undi orang lain. Undi daripada ahli tegar PAS tidak akan berubah.

“Kita harap pengundi yang berpihak kepada BN sebelum ini juga berpihak kepada kita. Dalam PRK Sungai Kandis dan Seri Setia kita lihat undi untuk kita meningkat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Pada PRK Parlimen Port Dickson 13 Oktober ini, PAS mempertaruhkan Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kololonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, sebagai calon parti itu.

Abdul Hadi berkata, Pakatan Harapan sendiri pun dilihat berdepan masalah apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Negeri Sembilan dibubarkan dan ia dilihat memberi peluang untuk PAS menang PRK Port Dickson.

“Itu ada masalah dalamanlah tu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai keengganan UMNO menyokong calon PAS, Abdul Hadi berkata, politik sentiasa melalui perubahan dan ia konsep yang perlu difahami semua pihak.

“Dalam politik ini kita tidak boleh bermusuh selama-lamanya dan tak boleh berkawan selama-lamanya. Itu konsep yang kita kena faham.

“PAS banyak meneroka pengalaman politik sejak 1955 lagi. Kita pernah bersama UMNO, kita sudah ikut serta macam-macam kerajaan. Kerajaan campuran, kerajaan pakatan. Jadi kita tidak ada masalah,” katanya.

Mengenai kebimbangan berlaku pecahan undi dengan tindakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Isa Samad bertanding, Abdul Hadi berkata, PAS tidak rugi apa-apa.

“Yang pecahnya undi UMNO, bukan undi kita. PAS tak rugi apa-apa,” katanya.

Berita Harian X