Rabu, 19 September 2018 | 1:38pm

UMNO Sabah hormati keputusan Anifah

KOTA KINABALU: Badan Perhubungan UMNO Sabah menghormati keputusan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang mengesahkan meninggalkan parti itu, hari ini.

Pengerusinya, Datuk Hajiji Noor, berkata pada masa sama UMNO negeri akan terus memantau perkembangan semasa politik di negeri ini, namun menegaskan kedudukan parti itu di Sabah tetap kukuh.

“Itu adalah keputusannya sendiri dan kami menghormatinya. Kami akan memantau perkembangan politik semasa. Bagi UMNO di Sabah, kita akan terus kekal (tidak berpecah),” katanya ketika dihubungi NSTP, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Anifah yang mengesahkan keluar UMNO, pagi tadi.

Terdahulu, Anifah yang juga adik kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, ketika dihubungi NSTP memaklumkan keputusan dibuat selepas memberi pertimbangan mendalam serta atas kerelaan sendiri.

Anifah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan bekas Menteri Luar berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi mengenai sebab meninggalkan UMNO serta mengenai hala tuju politiknya sama ada menyertai mana-mana parti selepas ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, UMNO memenangi 54 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, setakat ini, lima sudah keluar parti iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Ahli Parlimen Bagan Serai, Noor Azmi Ghazali serta Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed dan Anifah.

Berita Harian X