Khamis, 13 September 2018 | 5:15pm
TIAN Chua. - Foto Aziah Azmee

Pengosongan kerusi tidak dimaklumkan - Tian Chua

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa tidak pernah dimaklumkan berhubung keputusan parti mengosongkan kerusi Port Dickson bagi memberi laluan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Beliau yang turut menghadiri mesyuarat biro politik PKR Selasa lalu berkata, tiada seorang pun dalam biro terbabit boleh mengesahkan secara tepat keputusan berkenaan dicapai pada malam berkenaan.

“Satu-satunya perkara yang Saifuddin (Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail) berkata ketika mesyuarat adalah kerusi (yang akan dikosongkan) sudah diputuskan dan akan diadakan sidang media keesokan harinya (Rabu).

“Kemudian (seperti diumumkan pada sidang media) barulah jelas ini (kerusi Port Dickson yang dikosongkan) sudah dibincangkan lebih awal,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Sebelum ini Saifuddin dilaporkan berkata, keputusan mengosongkan kerusi itu adalah usaha Pakatan Harapan (PH) mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan sudah diputuskan melalui biro politik PKR yang turut dianggotai Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berkata, kedua-dua rakannya itu adalah anggota biro terbabit yang membincangkan pelbagai isu dalam parti termasuk proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Ditanya apakah Zuraida dan Chua hadir dalam mesyuarat biro politik setiap kali diadakan, Saifuddin dipetik sebagai berkata persoalan itu perlu diajukan kepada kedua-dua rakannya itu.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah semalam mengumumkan mengosongkan kerusi yang disandangnya untuk ditandingi Anwar.

Mengulas lanjut, Tian Chua berkata, beliau melihat keputusan memilih Port Dickson itu ‘dimanfaatkan’ Naib Presiden, Rafizi Ramli, dalam usaha untuk menjayakan kempen merebut jawatan Timbalan Presiden.

Beliau turut mendakwa Rafizi adalah individu yang menyerahkan surat peletakan jawatan Danyal Balagopal sebagai Ahli Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat semalam.

“Dia yang menyerahkan surat itu kepada Speaker pada kira-kira jam 10 pagi semalam. Tidak bolehkah Danyal Balagopal sendiri yang menyerahkan surat itu?

“Adakah Rafizi bimbang Danyal Balagopal mungkin akan mendedahkan beberapa ‘rahsia’ jika dia didesak oleh Speaker?” katanya.

Sementara itu usaha untuk mendapatkan komen Zuraida yang kini menghadiri simposium di Bali, Indonesia atas kapasitinya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak berhasil.

Berita Harian X