Khamis, 13 September 2018 | 2:43pm
SAIFUDDIN Nasution (tengah) merasmikan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2018 yang diadakan di Menara Berkembar Bank Rakyat. - Foto Eizairi Shamsudin

PRK Port Dickson diputuskan mesyuarat biro politik - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson telah diputuskan melalui biro politik PKR yang turut dianggotai Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin dan Naib Presidennya, Tian Chua.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata kedua-dua rakannya itu adalah anggota biro terbabit yang telah membincangkan pelbagai isu dalam parti termasuk proses pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

“Apa yang saya nak tekankan adalah proses itu (pemilihan kerusi Port Dickson) turut dibincangkan setiap minggu pada hari Selasa jam 8.30 malam.

“Apakah tajuk memilih kawasan yang akan ditandingi Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dibincangkan dalam biro politik? Jawapan saya, ya, Diputuskan dalam itu? Ya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2018, anjuran bersama KPDNHEP dan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) di sini, hari ini.

Ditanya apakah Zuraida dan Tian Chua hadir dalam mesyuarat biro politik setiap kali diadakan, Saifuddin persoalan itu perlu diajukan kepada kedua-dua rakannya itu.

“Itu kena tanya mereka. saya tak nak sebut. Kedua-dua rakan saya itu adalah anggota biro politik.

“Ketua Wanita Keadilan (Zuraida) adalah anggota biro politik. Jadi itu menerangkan kedudukan sebenar perkara itu,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan semalam yang mendakwa keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson ‘didalangi’ sesetengah pemimpin parti dan tidak mengikut saluran betul.

Katanya, tindakan yang menyisihkan suara pemimpin lain dalam PKR cuma melambangkan sistem dalam PKR tidak demokratik dan dimanipulasi kumpulan tertentu.

Tian Chua turut mendakwa keputusan mengosongkan kerusi Port Dickson tidak pernah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi parti itu.

Mengulas lanjut mengenai apakah mengapakah Port Dickson menjadi pilihan untuk Ketua Umum PKR, Saifuddin berkata pilihan setelah mengambil kira semua perkara.

“Tetapi apa yang paling penting ini adalah proses demokrasi yang dibenarkan dalam negara,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, semalam mengumumkan mengosongkan kerusi yang disandangnya untuk ditandingi Anwar dalam usaha Pakatan Harapan (PH) mengangkatnya sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Pada majlis itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul pemenang pingat emas bagi kategori organisasi Pengurusan Harta Intelek untuk tiga tahun berturut-turut melayakkannya memenangi wang tunai RM30,000, piala pusingan, piala iringan, piala Organisasi Harta Intelek Dunia (WIPO) dan sijil penghargaan.

Hadiah kemenangan disampaikan Saifuddin kepada Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris.

Berita Harian X