Rabu, 12 September 2018 | 7:42pm
KETUA Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi. - Foto Surianie Mohd Hanif

Luahkan kebimbangan dalam muktamar esok

KUALA TERENGGANU: Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan kerjasama politik yang terjalin antara parti itu dan UMNO ketika ini hanyalah bersifat ‘taawun siyasi’ dan tidak perlu dibimbangi peringkat akar umbi.

Beliau berkata, apa yang berlaku antara PAS dan UMNO ketika ini adalah persefahaman politik dan tolong menolong dalam perkara yang baik.

Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk itu, berkata pandangan Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Ramlan Mahmood mengenai kebimbangan peringkat akar umbi sekiranya kerjasama itu berlarutan sehingga kedua-dua parti bergabung dilihat sebagai pandangan peribadi yang dihormati.

“Bagi saya itu pandangan peribadi beliau (peringkat akar umbi tolak penggabungan PAS-UMNO) dan kita hormati pandangan beliau.

“Apa yang berlaku dalam parti sekarang, apa yang parti sedang jalankan ialah taawun siyasi khususnya dengan UMNO dan ia jelas pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis dan Seri Setia yang mana kita bekerjasama.

“Buat masa ini, kerjasama berjalan atas sifat taawun dan jika ada sebarang hubungan lanjut dengan UMNO pun, ia akan diputuskan kepemimpinan tertinggi parti dan Majlis Syura Ulama untuk kepentingan dan hala tuju parti yang perlu dihormati,” katanya kepada NSTP.

Semalam, NSTP melaporkan Pemuda PAS Terengganu menolak andaian parti itu berhasrat untuk bergabung dengan UMNO yang disifatkan sebagai lawan sejak sekian lama.

Ramlan berkata, peringkat akar umbi bimbang kerjasama PAS-UMNO yang dilihat semakin erat ketika ini bakal menjurus kepada penggabungan dua parti itu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kemaman berkata, jika faktor kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang menjadi sebab utama PAS untuk bergabung dengan UMNO, ia sama sekali tidak perlu kerana PAS mempunyai kekuatan jentera jauh lebih baik daripada UMNO.

Sementara itu Muhammad Khalil berkata, Muktamar Tahunan PAS yang dimulai dengan Muktamar Dewan Pemuda dan Muktamar Dewan Ulama esok, menjadi medan untuk ahli melontarkan apa juga pandangan untuk kepentingan parti.

“Muktamar Dewan Pemuda dan Ulama yang bermula esok akan menjadi medan untuk mereka luahkan segala-galanya. PAS sentiasa menghormati setiap pandangan ahli dan peringkat akar umbi,” katanya.

Berita Harian X