Rabu, 12 September 2018 | 7:00pm
KETUA Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin. - Foto Adzlan Sidek

Ada kumpulan manipulasi keputusan kosong kerusi PD

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyelar keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson yang didakwa ‘didalangi’ sesetengah pemimpin parti itu dibuat tidak mengikut saluran betul.

Menurut beliau, tindakan itu dilabelnya sebagai dangkal kerana tidak dibuat secara bersama.

Katanya, tindakan yang menyisihkan suara pemimpin lain dalam PKR cuma melambangkan sistem dalam PKR tidak demokratik dan dimanipulasi kumpulan tertentu.

“Tindakan yang dibuat oleh sesetengah pemimpin PKR dilihat dangkal kerana tidak mengikut saluran yang betul dalam membuat keputusan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson demi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen Malaysia.

“Setiap keputusan yang diambil oleh parti ini perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan daripada seluruh ahli parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi.

“Saya khuatir, sekiranya proses membuat keputusan tidak dijalankan secara terbuka, telus dan demokratik, ia akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan seolah-olah memperlihatkan PKR dimanipulasi oleh kelompok tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaiknya, Zuraida menegaskan, penting untuk seluruh kepemimpinan PKR menjunjung tinggi agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini.

Oleh itu, Zuraida berkata sebaiknya Anwar selaku bakal presiden PKR yang baharu dengan sendiri mengumumkan pendiriannya mengenai kerusi mana menjadi pilihan.

“PKR yang diasaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri perlu

berdiri atas paksi ketelusan dan mendukung demokrasi pada tahap yang tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang ataupun Tian Chua enggan mengulas mengenai pengosongan kerusi Parlimen itu.

Berita Harian X