Isnin, 10 September 2018 | 6:03pm

Pemuda PAS Terengganu tolak gabungan PAS-UMNO

KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS Terengganu menolak andainya parti itu berhasrat untuk bergabung dengan UMNO yang disifatkan sebagai lawan sejak sekian lama.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Ramlan Mahmood, berkata peringkat akar umbi bimbang kerjasama PAS-UMNO yang dilihat semakin erat ketika ini bakal menjurus kepada penggabungan dua parti itu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kemaman berkata, jika faktor kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang menjadi sebab utama PAS untuk bergabung dengan UMNO, ia sama sekali tidak perlu kerana PAS mempunyai kekuatan jentera jauh lebih baik daripada UMNO.

“Di peringkat akar umbi, kita memang tidak setuju seandainya PAS mahu bergabung dengan UMNO. Kita lawan UMNO sudah lama, sudah lebih 40 tahun, macam-macam UMNO sudah buat pada PAS, kenapa sekarang kita hendak kerjasama pula?

“PAS ada ahli yang ikhlas bekerja untuk parti dan untuk masa akan datang, PAS ada harapan cerah untuk menang dalam PRU, tidak perlu bergabung dengan UMNO,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah PAS yang dilihat menjalin kerjasama erat dengan UMNO termasuk dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Muktamar Tahunan PAS 2018 selama tiga hari bermula Jumaat ini juga dijangka membincangkan hal kepentingan kerjasama politik antara dua parti itu.

Bagaimanapun Ramlan berkata, ahli sentiasa menghormati segala keputusan pucuk pimpinan parti mengenai perkara itu, namun berharap suara di peringkat akar umbi yang tidak mahu PAS dan UMNO menjalin kerjasama lebih erat didengari.

“Setakat sekarang ini, kerjasama kedua-dua parti atas dasar Islam. Cuma daripada sudut kerjasama sahaja, yang lain daripada itu (penggabungan) tidak perlu.

“Apapun, kami di peringkat Pemuda yang ikhlas bekerja untuk PAS akur sebarang keputusan. Namun perlu diingat, kekuatan jentera Pemuda adalah antara penyumbang terbesar kemenangan PAS di beberapa negeri dalam PRU-14 lalu,” katanya.

Berita Harian X