Isnin, 10 September 2018 | 1:19pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Abdul Razak Muda (kanan) beramah mesra dengan kanak-kanak yang memakai pakaian seragam Bomba ketika mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Jalan Tun Razak. - Foto Amran Hamid

Gaduh, pergeseran perkara biasa dalam pemilihan - Zuraida

ALOR SETAR: Pertelingkahan dan serangan peribadi dalam tempoh pemilihan PKR ketika ini adalah proses biasa bagi calon yang bertanding.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengakui ia dianggap perkara biasa dalam pemilihan parti kerana sebelum ini pernah berlaku yang lebih teruk.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata perkara ini berlaku kerana PKR lebih progresif sekali gus apa yang berlaku dianggap biasa untuk meraih sokongan dan menang.

“Dalam semangat pertandingan, pelbagai usaha, melobi, cari kelebihan dan banyak lagi perkara boleh berlaku... biarkan mereka buat apa yang mereka rasa betul untuk lawan dan menang dalam pemilihan kali ini.

“Apa sahaja yang dilakukan, ahli akan menilai sama ada seseorang itu bercakap dengan asas atau hanya tin kosong ataupun terdapatnya kredibilitinya, maka biarlah ahli yang memikirkannya.

“Bagaimanapun, ia hanya sementara kerana selepas selesainya pemilihan parti akan kembali cantik dan semuanya akan selesai,” katanya yang ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah Alor Setar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua, yang mendakwa tiada sesiapa pun dalam kalangan pimpinan parti yang mengetahui mengenai keputusan untuk mengosongkan kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang diumumkan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Jumaat lalu.

Tian Chua seolah-olah membidas tindakan Rafizi yang tidak berhak membuat pengumuman itu sedangkan tiada sesiapa pun yang tahu ada langkah sebegitu sama seperti ‘Langkah Kajang’.

Rafizi dalam siri jelajah kempen pemilihan parti itu Jumaat lalu, mendedahkan satu kerusi Parlimen akan dikosongkan minggu depan, bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, beliau bagaimanapun tidak akan ambil pendekatan sedemikian seperti yang berlaku sekarang ini.

“Bagi saya, apabila pemilihan selesai... kita akan atur dan susun kepemimpinan untuk mengukuhkan keyakinan ahli dan rakyat.

“Isu yang berbangkit ini juga tidak membuat rakyat terganggu kerana ia perkara biasa yang berlaku dalam pemilihan mana-mana parti,” katanya.

Terdahulu, Zuraidah yang ditemani Ketua Pengarah JBPM, Mohamad Hamdan Wahid turut melakukan lawatan kerja dan mendengar taklimat perkembangan pasukan penyelamat terbabit di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kedah di Jalan Suka Menanti di sini.

Berita Harian X