Isnin, 10 September 2018 | 11:48am

PKR ada alasan kosongkan kerusi untuk Anwar - Rafizi

KUANTAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengambil keputusan mengosongkan kerusi Parlimen untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata walaupun peratusan keluar mengundi pada tiga pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini sangat rendah, namun ia tidak menggambarkan mood semasa rakyat secara keseluruhan.

“Memang kalau kita tengok peratusan (keluar mengundi) pada PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, ia sangat rendah dan mungkin ada kesan jika diadakan satu lagi (PRK).

“Namun, ia adalah keputusan yang dipersetujui semua, termasuk Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan penyandang kerusi Parlimen berkenaan...perancangan (mengosongkan kerusi Parlimen) ini dibuat sebelum Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) dan ia sudah diketahui individu terbabit.

“Walaupun kita nampak mood rakyat ketika ini tidak seperti PRU-14 lalu, PKR ada alasan untuk mempercepatkan proses (pengosongan kerusi Parlimen) dan antara faktor yang paling utama ialah keputusan ini dilakukan bagi memastikan proses reformasi institusi Parlimen dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis #Reformasi20Tahun di Kompleks Dagangan Mahkota, dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chun.

Peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis ialah 50.31 peratus, manakala pada PRK DUN Seri Setia pula 44.1 peratus dan PRK DUN Balakong pula hanya 43 peratus, peratusan paling rendah direkodkan bagi PRK.

Rafizi berkata, pengumuman mengenai kerusi Parlimen yang bakal dikosongkan akan dibuat minggu ini dan semua pihak diminta bersabar.


RAFIZI Ramli berucap dalam program Jelajah #Reformasi 20 tahun di Kompleks Dagangan Indera Mahkota, di sini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

“Kalau boleh, saya nak umumkan sekarang...tapi ia sudah dipersetujui oleh pucuk pimpinan dan kita tunggulah (pengumuman)... dalam sehari dua lagi ia akan diumumkan Datuk Seri Wan Azizah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan mengenai pengosongan kerusi Parlimen itu tanpa pengetahuan pimpinan parti, Rafizi berkata, ia adalah pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Batu itu.

“Bukan semua perkara dalam PKR kita maklumkan kepada beliau (Tian Chua)... itu adalah pandangan peribadi beliau dan saya hormati. Kalau nak tanya mengenai komen beliau, saya tidak pasti kenapa Tian Chua mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Berkaitan keputusan ini (pengosongan kerusi Parlimen), mungkin Tian Chua sebagai Naib Presiden, merasa janggal apabila beliau tidak terbabit secara langsung dalam perbincangan ini...saya akui, ada perkara kita babitkan semua pimpinan dan ada perkara hanya dibincangkan antara Anwar, Wan Azizah dan saya sahaja,” katanya.

RAFIZI Ramli berucap dalam program Jelajah #Reformasi 20 tahun di Kompleks Dagangan Indera Mahkota, di sini. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X