Ahad, 5 Ogos 2018 | 5:16pm
NAIB Presiden PKR, Tian Chua. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Tian Chua mahu kekalkan jawatan Naib Presiden PKR

PETALING JAYA: Chua Tian Chang atau Tian Chua mengesahkan bertanding pada pemilihan PKR kali ini untuk mengekalkan jawatan lamanya selaku Naib Presiden.

Kata bekas Ahli Parlimen Batu itu, beliau gembira melihat semangat demokrasi yang ditunjukkan dalam parti yang dianggap sebagai satu keluarga.

Walaupun terdapat persaingan dalam PKR, beliau menegaskan ia tidak sepatutnya dilihat negatif, sebaliknya adalah proses demokrasi sebenar di mana semangat demokrasi harus dikekalkan dalam PKR kerana ia adalah 'tonik' untuk memperkuatkan parti, sekali gus mengelakkan perpecahan.

"Suasana pemilihan kali ini sungguh meriah, kita harap mereka yang bertanding guna proses ini untuk kukuhkan perpaduan dalam parti sebagai ahli keluarga.

"Justeru, saya katakan kepada semua pihak bahawa kita boleh tanding tetapi jangan ambil sikap tertutup memusuhi pihak yang tidak mendapat sokongan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Sepanjang pemilihan, beliau berharap tidak akan berlaku 'perang' berita palsu dan fitnah yang boleh membunuh demokrasi dalam parti.

Beliau menegaskan, tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak sepatutnya berlaku antara ahli keluarga PKR.

"Kita harap tidak ada berita palsu dan fitnah terhadap anggota yang sertai pemilihan ini, sekali gus menjejaskan pemilihan dalam kalangan keluarga. Jadi, kita kena kukuhkan semangat," katanya.

Berita Harian X