Jumaat, 3 Ogos 2018 | 5:33pm
PETUGAS SPR melakukan persiapan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam sempena pilihanraya kecil N.49 Dun Sungai Kandis esok. - Foto Syarafiq Abd Samad
PETUGAS SPR melakukan persiapan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam sempena pilihanraya kecil N.49 Dun Sungai Kandis esok. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pengundi Sungai Kandis diminta keluar awal

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan semua pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis keluar mengundi awal bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian, esok.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pusat pengundian akan dibuka jam 8 pagi dan seramai 789 orang petugas akan mengawal selia 19 pusat pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di situ.

"Kita jangkakan kira-kira 80 peratus pengundi akan keluar mengundi esok, namun bergantung kepada keadaan cuaca.

"Saya juga ingin mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan ketika hendak ke pusat pengundian.

"Kemudian buat semakan tempat dan saluran mengundi sebelum terus ke saluran masing-masing untuk membuang undi," katanya selepas menghadiri Majlis Semakan Isi Peti Undi dan Penyerahan Peti Undi di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, di sini hari ini.

Othman berkata, pada PRK kali ini, beberapa penambahbaikan dibuat bagi mengelak kesesakan di pusat pengundian.

"Kita menambah jumlah saluran mengundi daripada 88 saluran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu kepada 109 saluran pada PRK kali ini.

PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Berita Harian X