Selasa, 31 Julai 2018 | 11:18pm
KETUA Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri) diiringi Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari (tiga dari kiri) bersama Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kiri) pada majlis Tahlil Allahyarham Suhaimi Shafiei di kediaman keluarga Allahyarham hari ini.Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pukul 11.10 pagi ini akibat kanser limfoma 2 Julai lalu.
 - Foto BERNAMA

Sekat pengaruh hanya spekulasi - Anwar

SHAH ALAM: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak bimbang

dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa peranan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang semakin menonjol sejak kebelakangan ini boleh menyekat pengaruhnya.

Malah, Anwar turut menyifatkan dakwaan pihak tertentu bahawa tujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Mohamed Azmin memegang jawatan penting dalam kerajaan antara usaha untuk mengurangkan pengaruhnya dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai spekulasi semata-mata.

"(Beri jawatan penting kepada Mohamed Azmin) bagi mengawal peranan saya, pengaruh saya? Jujur saya tidak bimbang. Terus terang saya tahu kekuatan parti saya, saya tahu kekuatan serta hubungan saya dengan rakan parti gabungan.

"Tun Mahathir mungkin ada alasan tersendiri apabila melantik (Mohamed Azmin). Sudah pasti setiap keputusan yang diambilnya berdasarkan kepentingan kepada institusi dan negara.

"Jika saya pun, saya akan membuat keputusan mengikut cara saya. Apa pun, kita tidak boleh halang orang untuk membuat andaian mereka sendiri," katanya selepas menghadiri majlis tahlil bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei, malam ini.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan mengenai pengaruh Mohamed Azmin sebagai orang 'kanan' Dr Mahathir apabila diberi jawatan penting sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan Mohamed Azmin mencabar jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti hujung Ogos ini, Anwar berkata, tiada pengesahan rasmi berhubung perkara itu.

"Kita tidak boleh layan desas-desus kerana masih belum ada keputusan yang sah. Beliau (Mohamed Azmin) ada jumpa saya di Istanbul, Turki, tetapi beliau tidak pernah bangkit soal (pemilihan) ini.

"Belum sah ada pertandingan atau tidak. Kalau ada pertandingan pun, kita kena hormati peraturan dan etika dan saya percaya Jawatankuasa Pemilihan PKR akan pastikan perkara itu dipatuhi," katanya.

Polemik dalam PKR timbul baru-baru ini selepas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dilaporkan mendakwa wujud dua puak dalam PKR.

Saifuddin berkata, satu pihak mahu Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Ismail dikekalkan sebagai Presiden, manakala satu lagi mahu beliau berundur dan memberi laluan kepada Anwar, difahamkan sebagai sebagai persediaan menggantikan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri.

Pada Selasa lalu pula, media melaporkan bahawa Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, turut mengakui wujud beberapa kem menjelang pemilihan parti bulan depan.

Dr Wan Azizah sebelum ini juga pernah menafikan wujudnya dua kem dalam kalangan anggota parti itu membabitkan beliau dan suaminya, Anwar, dalam pemilihan parti pada Ogos ini.

Anwar sah akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan kali, manakala Mohamed Azmin masih belum membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dilaporkan akan mencabar jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Mohamed Azmin.

Berita Harian X