Ahad, 29 Julai 2018 | 2:39pm

Ramai masyarakat India tak puas hati terhadap PH - Lokman

KLANG: Barisan Nasional (BN) menyasarkan peningkatan 50 peratus sokongan masyarakat India kepada parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis berbanding 25 peratus pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, berkata hasil lawatannya bertemu masyarakat setempat, rata-rata mereka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal menangani isu tempatan dan nasional membabitkan kaum berkenaan.

"Alhamdulillah hasil bantuan daripada rakan parti komponen seperti MIC dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya mendapati kebanyakan masyarakat India tidak berpuas hati dengan PH.

Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berjumpa dengan penduduk dengan berkempen rumah ke rumah pada kempen dalam Pilihanraya Kecil N49 DUN Sungai Kandis di Kampung Mohan. - Foto Roslin Mat Tahir
Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berjumpa dengan penduduk dengan berkempen rumah ke rumah pada kempen dalam Pilihanraya Kecil N49 DUN Sungai Kandis di Kampung Mohan. - Foto Roslin Mat Tahir

"Saya menjangkakan kalau dalam PRU-14, BN hanya memperoleh 25 peratus undi masyarakat India, kali ini saya merasakan ada lonjakan dan saya menyasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus undi mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra bersama masyarakat India di Kampung Jawa di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pemuda MIC yang juga ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraaj.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, beliau turut mengharapkan sokongan ahli UMNO dan PAS untuk keluar mengundi pada 4 Ogos ini dalam usaha memastikan suara pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bertambah kuat.

Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berjumpa dengan penduduk dengan berkempen rumah ke rumah pada kempen dalam Pilihanraya Kecil N49 DUN Sungai Kandis di Kampung Mohan. - Foto Roslin Mat Tahir
Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berjumpa dengan penduduk dengan berkempen rumah ke rumah pada kempen dalam Pilihanraya Kecil N49 DUN Sungai Kandis di Kampung Mohan. - Foto Roslin Mat Tahir

"Kalau dulu ada ahli UMNO sendiri yang protes dengan tidak keluar mengundi, ada juga keluar mengundi tetapi undi kepada sebelah sana. Saya berharap mereka akan kembali kepada BN supaya kita dapat memberikan isyarat jelas kepada PH bahawa rakyat keseluruhannya tidak berpuas hati terhadap mereka.

"Berhubung pendirian PAS pula, saya yakin dengan keputusan pimpinan parti itu yang mahu ahli mereka menolak PH pada PRK Sungai Kandis sebaliknya memberi undi kepada BN," katanya.

Dalam pada itu, Lokman berjanji kepada penduduk DUN Sungai Kandis akan berkhidmat sebaiknya untuk membawa suara mereka jika dipilih sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

"Saya akan memperjuangkan hak mereka sebagai rakyat terutama membabitkan isu setempat. Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pun berjanji perkara yang sama, cuma saya pelik kerana PKR sudah masuk penggal ketiga memerintah Selangor.

"Sepatutnya pembangkang yang harus perjuangkan isu setempat, bukan calon PKR. Apakah maksudnya itu?" katanya.

Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berjumpa dengan penduduk dengan berkempen rumah ke rumah pada kempen dalam Pilihanraya Kecil N49 DUN Sungai Kandis di Kampung Mohan. - Foto Roslin Mat Tahir
Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berjumpa dengan penduduk dengan berkempen rumah ke rumah pada kempen dalam Pilihanraya Kecil N49 DUN Sungai Kandis di Kampung Mohan. - Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X