Isnin, 23 Julai 2018 | 4:19pm
KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Danial Saad

Hak Anwar tanding Presiden PKR

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Tian Chua mengalu-alukan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan Presiden parti itu dan menyifatkan sudah tiba masanya untuk beliau memimpin parti itu, sekali gus mengembalikan hak yang dinafikan daripadanya.

Katanya, pilihan raya parti itu Ogos depan adalah ujian untuk membuktikan integriti, kematangan dan kebijaksanaan parti.

Tegas beliau, sebagai tulang belakang gabungan Pakatan Harapan (PH), perpaduan dalam kepimpinan PKR menjadi kunci utama kepada peralihan demokrasi yang lancar dan stabil khususnya ketika waktu kritikal pembinaan negara seperti sekarang.

"Justeru, semua ahli diminta mengetepikan perbezaan pendapat dan cita-cita peribadi bagi membina pasukan yang lebih kuat.

"Apabila Ketua Umum PKR dipilih sebagai Presiden, parti secara keseluruhan akan disatukan di bawah kepemimpinannya.

"Rakyat akan menilai keputusan pemilihan itu dan parti perlu sedar bahawa persepsi terhadap barisan kepemimpinan (PKR) mempunyai implikasi besar kepada keyakinan orang ramai terhadap pakatan pemerintah," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Batu itu, ahli PKR harus sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa pencapaian mereka hari tidak tidak datang dengan mudah kerana gerakan Reformasi berjuang selama 20 tahun menentang ketidakadilan.

Kata beliau, PKR diwujudkan ketika gerakan Reformasi yang diasaskan atas semangat inklusif berdasarkan prinsip keadilan sosial dan ia turut dinyatakan dalam perlembagaan parti itu.

Katanya, sepanjang perjuangan Reformasi, ribuan aktivis mahu pun rakyat memberikan sokongan padu kepada Anwar yang banyak berkorban dan menderita kerana berulang kali dipenjarakan.

"Anwar bukan saja menyalakan pemberontakan orang ramai tetapi beliau juga memberi inspirasi kepada rakyat memperjuangkan hak mereka

"Ramai yang terpaksa meninggalkan seketika kerjaya demi menyertai perjuangan Reformasi bagi membolehkan Malaysia memiliki masa depan yang lebih baik

"Selain itu, ketika Anwar mahu bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), beliau juga menunjukkan keberanian yang tinggi untuk mempertahankan keputusan itu meskipun berdepan banyak kemungkinan," katanya.

Tian Chua berkata, meskipun Anwar banyak berjasa kepada PKR namun beliau dinafikan secara tidak adil daripada memimpin parti yang diasaskannya.

Katanya, kini dengan perubahan iklim politik tanah air, sudah tiba masanya untuk Anwar menerajui PKR dan ia adalah hak beliau yang sah meneruskan kepimpinan yang sebelum ini dilucutkan daripadanya.

Menurut beliau lagi, peralihan kuasa tampuk pemerintahan negara adalah lonjakan besar ke hadapan namun ia sebenarnya hanyalah langkah pertama.

"Kita (kerajaan) mewarisi sistem yang rosak dan ia perlu diperbaharui serta distruktur semula dengan teliti, rakyat sudah memberi mandat kepada PH dan mereka meletakkan harapan tinggi untuk melihat kerajaan baharu ini memenuhi harapan berkenaan," katanya.

Berita Harian X