Sabtu, 21 Julai 2018 | 5:35pm
AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izah Anwar ditemui pada Majlis Hari Anugerah Cemerlang 2018 di Dewan Ahmad Fuad, Sekolah Menengah Islam (SMI) Al- Masriyah, Permatang Pauh, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

Anwar, Azmin harmoni - Nurul Izzah

BUKIT MERTAJAM: "Tiada isu berbangkit dan mereka (Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) kelihatan harmoni ketika bertemu di Turki," tegas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Penegasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai mengulas spekulasi Mohamed Azmin selaku Timbalan Presiden PKR bakal mencabar kerusi presiden pada pemilihan parti itu akhir bulan depan.

Nurul Izzah mengakui beliau turut mendengar khabar angin berkenaan, namun menegaskan hubungan bapanya dan Mohamed Azmin berjalan dengan baik.

Beliau berkata, selain Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, ramai pimpinan parti yang lain mengakui pentingnya Anwar kembali mendapatkan hak di dalam parti yang diasaskannya.

"Anwar mempunyai hak dan harus diberikan peluang untuk bertanding di dalam parti yang digagaskannya itu.

"Sebelum ini beliau dinafikan hak selepas berdepan sistem kehakiman yang tempang," katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Islam Al Masriyah di sini, hari ini.

Menurutnya, PKR mengamalkan konsep memberi ruang kepada mereka yang dinafikan hak mereka untuk bertanding termasuk Naib Presiden, Rafizi Ramli dan pada masa yang sama pemilihan mestilah berlaku dalam suasana demokrasi dengan ahli diberikan peluang untuk memilih.

"Sudah tentu kita melihat mana-mana sejarah penubuhan parti akan ada sentimen dan nama Anwar Ibrahim memang tidak boleh dipisahkan.

"PKR mengamalkan konsep `govern our decision' yang mengimbangi sejarah, keperluan kepada masalah umum dan demokrasi.

"Apabila semuanya digarap dengan baik ia akan menghasilkan keputusan yang menjamin keseimbangan dan keutuhan parti untuk tadbir serta menjaga rakyat," katanya.

Nurul Izzah berkata, mereka bertanding bukan untuk memegang jawatan atau gelaran presiden dan sebagainya namun bagi memudahkan parti menjalankan dasar reformasi dan program kebajikan rakyat.

Berita Harian X