Ahad, 15 Julai 2018 | 6:24pm
TIMBALAN Menteri Industri Utama, Syamsul Iskandar Md Akim (kanan) bersama Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir (kiri) memulakan mesyuarat ketika ditemui Hotel Perdana, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
TIMBALAN Menteri Industri Utama, Syamsul Iskandar Md Akim (kanan) bersama Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir (kiri) memulakan mesyuarat ketika ditemui Hotel Perdana, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Shamsul Iskandar pertahan jawatan Naib Presiden

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mempertahankan kerusi Naib Presiden PKR, pada Kongres Nasional Tahunan, akhir Ogos ini.

Katanya, setakat ini beliau mengambil sikap untuk mengekalkan `status quo' jawatannya.

"Saya ada melakukan perjumpaan dengan akar umbi dan ada permintaan untuk saya bertanding (jawatan lebih tinggi), namun setakat ini saya mengambil sikap `status quo'.

"Ini kerana kemuafakatan kepemimpinan parti dan saya yakin muafakat serta hubungan ini akan dijaga dengan baik yang akan menjadikan parti lebih kuat," katanya ketika ditemui di Majlis Mesyuarat PKR, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir dan Pengarah Komunikasi Strategik PKR Kelantan, Sukirman Mustapa.

Pada perkembangan sama, Shamsul Iskandar berkata, beliau yakin kerusi presiden PKR tidak akan dicabar oleh mana-mana pemimpin.

"Saya yakin kerusi presiden hanya akan ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa dicabar oleh (Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali walaupun kerusi itu boleh ditandingi sesiapa saja.

"Walaupun parti mengamalkan dasar terbuka, namun kepemimpinan kita bermuafakat (pemilihan jawatan).

"Kita semua adalah kepemimpinan terawal dalam parti yang bekerja serta menjaga hubungan baik," katanya.

Berita Harian X