Ahad, 8 Julai 2018 | 3:14pm

Dr Wan Azizah tidak bertanding jika Anwar dicalonkan jawatan Presiden

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini mengesahkan tidak akan bertanding jika suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dicalonkan bagi jawatan tertinggi itu pada pemilihan parti, bulan depan.

"Tidak," katanya ketika ditanya pemberita sama ada beliau akan mempertahankan jawatan disandang jika Anwar yang juga Ketua Umum PKR bertanding kali ini.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menafikan wujud perebutan jawatan Presiden parti berkenaan antara beliau dengan Anwar.

"Belum ada keputusan sama ada saya akan bertanding atau tidak (jawatan Presiden). Terpulang kepada kepemimpinan tertinggi untuk putuskan, perlu bincang.

"Suami (Anwar) adalah Ketua Umum PKR. Beliau lebih 'kanan' berbanding Presiden," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan PKR dilanda dilema menjelang pemilihan bulan depan apabila wujud dua kumpulan yang menyokong pencalonan ke jawatan Presiden.

Satu pihak mahu Dr Wan Azizah dikekalkan, manakala satu lagi hendak beliau berundur dan memberi laluan kepada Anwar sebagai persediaan menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, dipetik sebagai berkata pihak yang mahu Dr Wan Azizah kekal adalah berdasarkan rekodnya memimpin selama 20 tahun sehingga parti berjaya memperoleh 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14, iaitu terbesar dalam Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, Perlembagaan PKR membenarkan Dr Wan Azizah bertanding jawatan Presiden untuk sepenggal lagi.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, menafikan wujud dua kem yang masing-masing memihak beliau dan Anwar.

"Tiada lagi kem. Saya menafikan sekeras-kerasnya ada kem Azizah dan kem Anwar. Kita satu pasukan," katanya.

Ketika ditanya laporan media yang memetik Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin sebagai mahu Anwar bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu nanti, Dr Wan Azizah berkata, PKR mengamalkan demokrasi dan ahli boleh mencalonkan sesiapa sahaja pilihan mereka.

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kajang di Sungai Kantan, Kajang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X