Selasa, 26 Jun 2018 | 3:09pm
ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor di Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2018 di Dewan Negeri Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir
ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor di Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Keempat Belas Tahun 2018 di Dewan Negeri Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir

Jangan politikkan isu Speaker DUN - Suee Lim

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim berharap pihak tertentu tidak mempolitikkan pelantikannya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Katanya, isu latar belakang pendidikan dan kelayakan profesional bukanlah isu yang perlu diperbesarkan, malah beliau berjanji akan berlaku adil ketika mengendalikan persidangan DUN Selangor nanti.

"Memang saya bukan pengamal undang-undang, bukan peguam dan bukan juga seorang profesional seperti ADUN lain.

"Namun, pelantikan seseorang Speaker DUN turut mengambil kira pengalaman seseorang itu. Saya ADUN paling senior di negeri ini dan ini adalah penggal keempat saya sebagai ADUN.

"Jika dilihat kepada sejarah DUN Selangor, jawatan Speaker DUN disandang oleh individu yang mempunyai pelbagai latar belakang," katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Mengangkat Sumpah ADUN Selangor di lobi DUN di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Suee Lim mengakui tanggungjawab sebagai Speaker DUN bukan sesuatu yang mudah.

"Sebelum ini, saya sering memainkan peranan sebagai pembahas utama dalam DUN dan saya boleh cakap apa sahaja, tetapi apabila jadi Speaker, saya kena berhati-hati ketika bercakap," katanya.

Sebelum ini, timbul desas-desus PKR membantah cadangan DAP supaya melantik Suee Lim sebagai Speaker DUN Selangor.

Pemimpin PKR Selangor dikatakan mencadangkan ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman, yang mempunyai latar belakang undang-undang memegang jawatan itu.

Jawatan Speaker DUN Selangor disandang DAP sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008.

Berita Harian X