Selasa, 15 Mei 2018 | 5:00pm
PENGERUSI PKR Baram, Roland Engan. - Foto Kandau Sidi
PENGERUSI PKR Baram, Roland Engan. - Foto Kandau Sidi

Punca PKR kalah di Parlimen Baram

MARUDI: PKR mengakui kesukaran parti itu menawan Parlimen Baram berikutan prestasi cemerlang dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan.

Pengerusi PKR Baram, Roland Engan, berkata prestasi baik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Penguang Manggil dan ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala, menyukarkan parti itu meraih sokongan padu.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN mendapat sokongan yang agak kuat di kedua-dua kawasan berkenaan.

"Ramai penduduk Marudi dan Mulu memberikan sokongan kepada BN kerana prestasi cemerlang kedua-dua wakil rakyat itu.

"Namun, di kawasan lain, kebanyakan undi memihak kepada PKR," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Roland yang tumpas kepada calon BN, Angi Ngau pada pilihan raya itu berkata, secara keseluruhannya sokongan terhadap PKR di kawasan Parlimen Baram meningkat.

"Sebelum ini, PKR mendapat kurang 9,000 undi, tetapi kali ini jumlah berkenaan meningkat kepada lebih 10,000 undi," katanya.

Beliau berkata, PKR Baram akan melakukan kajian mengenai tingkah laku pengundi di kawasan Baram untuk memastikan meraih sokongan penduduk di kawasan itu pada masa depan.

Berita Harian X