Rabu, 9 Mei 2018 | 6:41pm
 PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah ketika sidang media sempena PRU-14 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah ketika sidang media sempena PRU-14 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

8,253 pusat mengundi tutup tepat jam 5 petang

PUTRAJAYA: Semua 8,253 pusat mengundi seluruh negara ditutup tepat pada jam 5 petang ini, seperti diwartakan mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata

pintu saluran mengundi ditutup tepat pada jam 5 petang dan pihaknya tidak melayan mana-mana pengundi yang tiba lewat di pusat mengundi selepas jam 5 petang.

"Walaupun pengundi sudah beratur di pusat mengundi, SPR menutup pintu saluran serta-merta tepat jam 5 petang," katanya kepada pemberita di Menara SPR.

Beliau berkata pengundi yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan petisyen bantahan di mahkamah.

"Pengundi sepatutnya sedia maklum bahawa waktu akhir mengundi adalah jam 5 petang. Pengundi sewajarnya merancang masa untuk mengundi dan bukannya hadir pada saat akhir pusat mengundi ditutup," katanya.

Beliau berkata, SPR sudah memaklumkan melalui media dari semasa ke semasa mengenai tempoh mengundi.

"Masalahnya ada pengundi bertangguh kerana tidak mahu beratur panjang. Contohnya, jika pengundi datang pada 3 petang, kemungkinan tidak sempat untuk mengundi adalah tinggi," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X