Rabu, 9 Mei 2018 | 4:40pm
PENGARAH Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Mohd Nazri Ismail
PENGARAH Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Mohd Nazri Ismail

Tiga kawasan di Perak alami gangguan elektrik

IPOH: Tiga pusat mengundi di Perak mengalami gangguan bekalan elektrik susulan hujan serta ribut petir pada jam 2 petang tadi.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Mohd Nazri Ismail, berkata kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik itu ialah Parlimen Bagan Serai, Larut dan Bukit Gantang.

Katanya, gangguan bekalan elektrik itu bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan hari pengundian di semua kawasan berkenaan.

"Sebaik menerima maklumat itu, TNB (Tenaga Nasional Berhad) bergegas ke lokasi dan memaklumkan kejadian itu bukan disebabkan elektrik terputus sebaliknya hanya berlaku 'ELCB' (Earth Leakage Circuit Break)," katanya pada sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat jam 2 petang tadi, lebih 61 peratus daripada 1.47 juta pengundi yang berdaftar di Perak keluar mengundi di 448 pusat mengundi di negeri berkenaan.

"Kebanyakan saluran mengundi mengalami kesesakan berikutan ada antara pengundi yang tidak membuat semakan secara atas talian dan terpaksa berdepan kesesakan.

"Disebabkan itu berlaku sedikit kelewatan di saluran masing-masing kerana biasanya setiap pengundi mengambil masa 30 minit saja untuk membuang undi," katanya.

Berita Harian X