Selasa, 8 Mei 2018 | 12:44pm
CALON BN N42 Meru, Khairul Anuar Saimun (tengah) semasa mengadakan lawatan mesra ke Pusat Media di Wisma Persekutuan Klang. - Foto Faiz Anuar
CALON BN N42 Meru, Khairul Anuar Saimun (tengah) semasa mengadakan lawatan mesra ke Pusat Media di Wisma Persekutuan Klang. - Foto Faiz Anuar

BN ada peluang cerah di Meru

KLANG: Gelombang perubahan terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu dan India di Meru akan membantu Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Calon BN di Meru, Khairul Anuar Saimun, berkata, penduduk di kawasan itu ada menyuarakan perasaan kecewa dan hampa mereka dengan kepemimpinan ketika ini serta kerajaan negeri ketika ini.

"Kami melihat perubahan, perubahan dalam kalangan pengundi apabila kami turun padang bertemu dengan mereka dan mendengar masalah. Mereka sangat mahukan perubahan kepemimpinan dan tidak mahu mengalami nasib yang sama untuk 10 tahun lagi (di bawah PKR).

"PKR gagal mengotakan janjinya. Masyarakat di sini hidup dalam kesusahan selama 10 tahun ini. "Pengundi, terutamanya pengundi Melayu dan India mahukan BN kembali (ke Meru dan mentadbir semula Selangor) untuk melihat perubahan positif. BN akan berusaha untuk meningkatkan status sosio-ekonomi penduduk di sini," katanya.

Khairul Anuar ditemui ketika melawat di Pusat Media di Jabatan Penerangan Klang, di sini. Sebelum diberi amanah menjadi calon BN, Khairul Anuar adalah Penolong Pengarah di Jabatan Penerangan. Katanya, beliau berasa tenang sebelum menghadapi hari pengundian esok kerana tahu sudah berbuat sehabis baik.

"Kami tidak pernah meninggalkan pengundi dan berjanji akan bekerja kertas untuk membangunkan Meru," katanya. Khairul Anuar berkata, jika diberi mandat esok, beliau mahu mengambil langkah segera untuk menangani dua masalah utama yang mengggangu penduduk Meru iaitu banjir kilat dan keadaan jalan raya yang teruk.

Beliau berkata, keadaan jalan yang teruk dan berlubang bukan saja merosakkan kenderaan malah menyebabkan kemalangan serta kematian. "BN sudah merancang untuk menyelesaikan masalah banjir kilat, tetapi ia tidak dapat diteruskan apabila kerajaan negeri jatuh ke tangan pembangkang. Jadi, fokus saya adalah untuk menyelesaikan dua isu ini," katanya. Khairul Anuar berkata, beliau akan menghabiskan 24 jam terakhir waktu berkempen dengan turun padang bertemu dengan pengundi dan berkongsi rancangan serta hasratnya untuk Meru.

"Saya bertanding sebagai calon untuk PRU-14 dengan hasrat untuk membawa perubahan dan pembangunan ke Meru. Bukan untuk kepentingan peribadi saya.

Saya harap Meru akan menang pada 9 Mei ini," katanya. Khairul Anuar berdepan pertembungan lima penjuru antara calon PKR, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar, S Manikavasagam (PRM), Noor Najhan Salleh (PAS), can calon bebas, Shee Chee Weng.

Berita Harian X