Isnin, 7 Mei 2018 | 12:01am
KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kubang Pasu, Ab Manaf Kechik (kiri) menyerahkan borang penyertaan ahli UMNO kepada Setiausaha UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Samsudin Ahmad (kanan) selepas sidang media di Pusat Gerakan Barisan Nasional Kubang Pasu, hari ini.Ab Manaf mengumum seramai 437 ahli PPBM Kubang Pasu turut meletakkan semua jawatan di dalam PPBM dan menyertai UMNO. - Foto BERNAMA

437 ahli PPBM keluar parti

JITRA: Seramai 437 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kubang Pasu hari ini keluar parti kerana kecewa dengan sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa melampaui batas dan bersifat pendendam.

Timbalan Ketua Penerangan PPBM Kubang Pasu, Ab Manaff Kechik, yang mengetuai kumpulan itu, turut menarik diri sebagai pencadang kepada calon PKR bagi Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

"Saya dengan rela hati menarik diri sebagai pencadang kepada Datuk Amiruddin Hamzah yang bertanding kerusi Parlimen Kubang Pasu," katanya pada sidang media di Pusat Operasi BN Kubang Pasu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, BN Kubang Pasu yang diwakili Setiausaha Bahagian UMNO Kubang Pasu, Datuk Samsudin Ahmad, menerima borang keahlian menyertai UMNO daripada Ab Manaf.

Mengulas lanjut, Ab Manaff berkata tindakan itu diambil kerana kecewa dengan perjuangan Dr Mahathir, yang juga calon PKR Parlimen Langkawi, yang didakwa melampaui batas dalam berpolitik, dan boleh menjejaskan orang Melayu dan Islam.

"Perjuangan Dr Mahathir sudah melampaui batas, bersifat peribadi dan dendam yang boleh menghancurkan perpaduan orang Melayu dan orang Islam di negara ini.

"Kami rasa sangat kecewa dan mengisytiharkan keluar parti akan menyokong Barisan Nasional (BN) serta memastikan kemenangan calon BN di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya juga akan berkempen dan berceramah atas pentas BN, bagi membantu kemenangan calon BN di sini," katanya.

Berita Harian X