Khamis, 3 Mei 2018 | 8:41pm
JUSOP Ibrahim menunggang skuternya yang dihias dengan bendera dan logo BN serta gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan calon DUN Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail bagi memeriahkan kempen PRU14 di Pengkalan Kubor, Tumpat. - Foto Syamsi Suhaimi

Skuter Jusop jadi perhatian

TUMPAT: Kelibat seorang warga emas menunggang skuter yang dipenuhi bendera serta logo Barisan Nasional (BN) di sekitar Pengkalan Kubor menarik perhatian orang ramai.

Skuter biru milik Jusop Ibrahim, 70, bukan sahaja dilekatkan bendera tapi juga ditampal gambar beberapa pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) termasuk Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Jusop yang lebih dikenali sebagai 'Abe Jusoh Bendera' berkata, dia menghias skuternya dengan bendera BN itu untuk menzahirkan rasa cinta dan kagumnya terhadap parti yang bertanggungjawab dalam kemajuan negara.

"Saya menghias skuter ini seorang diri dan tidak malu setiap kali menunggang skuter di sekitar daerah ini. Malah saya berasa bangga dapat menunjukkan penghargaan terhadap parti yang membangunkan negara.

"Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor pada 2014 lalu, hiasan yang lebih kurang sama saya buat untuk memeriahkan kempen calon," katanya ketika ditemui, hari ini.

Ditanya mengenai modal yang dikeluarkan, Jusop enggan mendedahkan jumlah sebenar yang dikeluarkan.

"Saya tidak kisah mengeluarkan sedikit modal untuk menghias skuter ini kerana ia hanyalah kecil jika nak dibandingkan dengan apa yang sudah dilakukan BN untuk menjaga keamanan negara," katanya.

Berita Harian X