Khamis, 3 Mei 2018 | 11:47am

Muka bumi Baram cukup mencabar

MARUDI: Kemudahan asas sukar dilaksanakan di Parlimen Baram dalam tempoh singkat berikutan muka buminya yang bergunung-ganang dan pola penempatan berselerak.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil, berkata bagaimanapun, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menganggap cabaran itu sebagai halangan.

Malah, katanya, pelbagai usaha sudah dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Tentunya usaha ini memerlukan masa, malah sudah banyak projek infrastruktur dilaksanakan di Parlimen Baram, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar, seterusnya menawarkan suasana kehidupan lebih baik.

"Terbaru, penduduk Marudi bakal menikmati kemudahan jambatan merentasi Sungai Baram menghubungkan pekan ini tanpa bergantung kepada perkhidmatan feri seperti sekarang," katanya selepas menyertai kempen BN, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, berkata kemudahan itu akan memberi peluang kepada penduduk Marudi dan Baram memasarkan hasil pertanian secara terus di pusat bandar.

"Yang pasti, semuanya memerlukan masa, malah pembangkang tidak dapat menyediakan kemudahan asas yang diperlukan dalam sekelip mata," katanya.

Calon BN Parlimen Baram, Anyi Ngau, berkata menjadi agenda kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur asas di semua kawasan terpencil.

Beliau berkata, BN ingin memastikan semua penduduk di kawasan Baram dapat menikmati kemudahan asas yang diperlukan itu.

"Walaupun dalam tempoh yang singkat iaitu lima tahun lalu, saya sudah banyak membantu penduduk di Baram menikmati kemudahan asas di kawasan terpencil," katanya.

Berita Harian X