Khamis, 3 Mei 2018 | 10:44am
CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen P053 Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. - Foto Danial Saad
CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen P053 Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. - Foto Danial Saad

Tohmahan bukti pembangkang terdesak raih simpati pengundi

BALIK PULAU: Tindakan calon pakatan pembangkang mempolemik dan membuat tohmahan negatif terhadap pembangunan di Balik Pulau, disifatkan sebagai usaha terdesak untuk menutup kelemahan mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata pembangkang dilihat memutarbelitkan fakta kerana tahu mereka tidak dapat menawarkan apa yang mampu dilaksanakan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, pembangunan kemudahan penjagaan kesihatan di Balik Pulau yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kini pada peringkat positif, malah projek bawah Kementerian Kesihatan itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap masyarakat setempat.

"Buktinya, Kerajaan Pusat meluluskan pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) di Air Putih bernilai RM30 juta dan Klinik Kesihatan di Bayan Lepas (RM40 juta), malah kerja menaik taraf Jabatan Kecemasan, Pesakit Luar dan dewan bedah serba lengkap di Hospital Balik Pulau (RM8 juta) sudahpun diluluskan untuk menampung keperluan semasa.

"Pembangkang sebaliknya hanya tahu membuat tohmahan dengan mencipta pelbagai cerita tanpa merujuk kepada fakta, seolah-olah kerajaan tidak memberi keutamaan terhadap aspek kemudahan kesihatan di sini," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, pakatan pembangkang dalam siri ceramahnya di beberapa lokasi dalam Parlimen Balik Pulau membangkitkan isu pembangunan yang didakwa jauh ketinggalan berbanding kawasan lain di Pulau Pinang.

Dr Hilmi yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Balik Pulau, membidas tindakan pakatan pembangkang yang terdesak meraih simpati pengundi sehingga sanggup mengetepikan fakta dalam sesuatu perkara.

"Rakyat di Balik Pulau juga tahu bahawa pendekatan pakatan pembangkang ini tidak akan mampu membawa mereka ke tahap hidup lebih baik kerana tindakan itu jelas untuk kepentingan politik semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengundi supaya tidak terjerat dengan taktik pakatan pembangkang menggunakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai alat untuk meraih undi masyarakat Melayu.

"Timbalan Setiausaha Agung DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy secara terang-terangan dalam ceramahnya mendakwa tidak pernah lupa dengan perbuatan Dr Mahathir, selain mengaku tujuan mereka hanya untuk meraih undi Melayu, Sabtu lalu.

"Malah, seorang lagi penceramah DAP, Hew Kuan Yau juga pernah secara terbuka menyatakan Dr Mahathir adalah alat mereka dan menggelarnya 'Shek Kin', iaitu watak Cina bersifat jahat. Mereka menjadikan Dr Mahathir bahan jenaka, menuduhnya rasuah dan menamakannya dengan pelbagai gelaran negatif.

"Justeru, semua pihak wajar membuka mata dan melihat sendiri apa yang sudah berlaku. Mereka perlu tahu dan sedar bahawa mereka juga diperalatkan (oleh pembangkang) seperti yang berlaku terhadap Dr Mahathir," katanya.

Berita Harian X