Khamis, 3 Mei 2018 | 6:45am
MAXIMUS Ongkili. - Foto Malai Rosmah Tuah

Jangan layan pemimpin 'lugai-lugai' - Maximus

KOTA MARUDU: "Sudah 'lugai-lugai' baru mahu cakap berjuang untuk Sabah, itu dan ini sedangkan dulu ada jawatan dalam kerajaan tidak gunakan dengan baik.

"Itulah sikap pemimpin pembangkang yang kita tahu mereka pernah menjadi menteri Pusat dan negeri, malah jadi ketua menteri dan timbalan ketua menteri," kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau merujuk istilah 'lugai-lugai' yang bermaksud sudah tiada apa-apa dengan pemimpin parti pembangkang tempatan yang sebelum ini pernah bersama BN dan memegang jawatan penting kerajaan.

Antaranya, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT), Datuk Lajim Ukin dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Wilfred Bumburing yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri.

Maximus berkata, pemimpin dan parti diwakili mereka kini tidak harus dilayan kerana penampilan mereka jelas menunjukkan keinginan berkuasa semata-mata, bukan kerana rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata bukan setakat itu, kejatuhan kerajaan PBS pada 1994 juga disebabkan tindakan pemimpin sama yang melompat parti.

"Kita tidak lupa apa yang mereka lakukan dulu sehingga PBS menjadi pembangkang selama sembilan tahun sebelum kembali ke pangkuan BN pada 2002," katanya di hadapan kira-kira 200 pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Timbang Batu di sini, malam tadi.

Dalam kempennya, Maximus turut mengimbau bagaimana PBS kembali ke pangkuan BN dan berjuang dalam satu pasukan untuk membela nasib rakyat serta membangunkan negeri.

"Kita bawa usul dalam kongres parti dan hasilnya 500 perwakilan menyokong, barulah kita kembali kepada BN dan hari ini, hasil keputusan itu, kita membawa perubahan besar di Kota Marudu," katanya.

Tambah beliau, keputusannya untuk terus bertanding di Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah kerana mahu meneruskan agenda pembangunan di kawasan ini.

Maximus mendedahkan, sepanjang tiga bulan lalu, beliau banyak ke Tambunan untuk melihat kemungkinan bertanding di DUN itu bagi menggantikan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

"Huguon Siou (Pairin) kata tandinglah di Tambunan supaya saya boleh jadi timbalan ketua menteri, tapi saya merasakan tidak wajar kerana Kota Marudu masih memerlukan pembelaan berbanding Tambunan.

"Jadi saya tetap bertanding di Kota Marudu dan yakin dengan sokongan padu rakyat serta kerjasama erat semua parti komponen BN, kita mampu mempertahankan kerusi dan menambah majoriti," katanya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu bagaimanapun berkata PRU-14 adalah yang terakhir baginya di Parlimen Kota Marudu dan tempatnya akan diberi kepada orang muda pada pilihan raya akan datang.

Berita Harian X