Jumaat, 27 April 2018 | 7:23am
DATUK Au Kam Wah (kanan) dan Chan Tzun Hei. - Foto Juazimie Jazlan
DATUK Au Kam Wah (kanan) dan Chan Tzun Hei. - Foto Juazimie Jazlan

Penyandang kerusi tekad bantu calon baharu

SANDAKAN: Tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sedia membantu calon Barisan Nasional (BN) yang baharu meskipun digugurkan daripada senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Penyandang kerusi DUN Elopura, Datuk Au Kam Wah, berkata beliau sebaliknya gembira apabila nama yang dicadangkan bagi menggantikannya, Chan Tzun Hei, 35, diberi peluang oleh kepemimpinan BN untuk menjadi calon.

Katanya, beliau sudah merancang untuk mengundur diri daripada menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak PRU-13 lalu dan memberi laluan kepada calon muda meneruskan perjuangan BN di kawasan itu.

"Saya gembira kerana kepemimpinan BN terima calon (Tzun Hei) yang saya cadangkan.

"Biarpun tak jadi calon, saya masih dalam politik dan akan bantu untuk kekalkan kemenangan BN di Elopura, selain membantu calon Parlimen Sandakan untuk merampas kerusi daripada pembangkang," katanya kepada NSTP.

Sementara itu, Penyandang kerusi DUN Karamunting, Datuk Charles Pang Su Pin yang digantikan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Lim Kai Ming, bertekad untuk memberi sokongan padu kepada calon baharu sekali gus membantu kemenangan BN di kawasan berkenaan.

"Saya akan berada di kawasan (sepanjang kempen) untuk bantu calon. Biarpun tidak dicalonkan semula, saya tetap memberi sokongan padu kepada semua calon supaya kerajaan BN dapat dikekalkan dan mencapai sasaran dalam manifesto BN," katanya.

Penyandang kerusi DUN Lumadan, Datuk Kamarlin Ombi turut memberi reaksi sama untuk menyokong calon baharu, Matbali Musa demi mempertahankan kerusi BN di kawasan itu.

"Biarpun saya bukan lagi calon, saya akan bantu calon (baharu) demi parti," katanya yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Selain tiga penyandang itu, tujuh lagi yang tidak tersenarai atau tidak mahu mempertahankan kerusi ialah Tan Sri Joseph Kurup (Parlimen Pensiangan), Datuk Pang Yuk Ming (DUN Merotai), Datuk Jumat Idris (Parlimen Sepanggar), Datuk Syed Abas Syed Ali (DUN Balung), Datuk Ahmad Bujang (DUN Sindumin), Datuk Raime Unggi (Parlimen Tenom) dan Datuk Michael Asang (DUN Labuk).

Berita Harian X