Khamis, 26 April 2018 | 11:12pm
KETUA Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bercakap denganmedia pada Majlis Isu Isu Semasa di Dewan Besar Gedong Lalang Ampangan Seremban. - Foto Adzlan Sidek.
KETUA Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bercakap denganmedia pada Majlis Isu Isu Semasa di Dewan Besar Gedong Lalang Ampangan Seremban. - Foto Adzlan Sidek.

Tuduhan 'god-sent' sekadar alasan bantai saya - Arul Kanda

SEREMBAN: Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus dipolitikkan pihak pembangkang dan yang berkepentingan dengannya bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berkata meskipun pelbagai penjelasan berterusan dibuat mengenai syarikat pelaburan strategik itu, masih ada pihak yang cuba memburukkan keadaan dan menimbulkan keraguan masyarakat.

Beliau juga kecewa apabila sebuah portal berita menerbitkan artikel kononnya beliau gagal memberi penjelasan berhubung misteri kehilangan dana RM42 bilion.

Katanya, artikel berkenaan secara sinis menyatakan beliau adalah 'god-sent' kepada pembangkang kerana soal jawab bersama wartawan di pejabat portal berkenaan di ibu kota dua minggu lalu, gagal membuktikan bahawa isu syarikat itu sudah selesai.

"Saya sendiri pergi ke pejabat berkenaan dan empat wartawan menemubual saya bertanyakan pelbagai soalan mengenai isu 1MDB dan saya menjawab semua soalan diajukan berdasarkan fakta.

"Saya berada di pejabat itu selama tiga jam tetapi penulis artikel terbabit tidak berada pada sesi temubual itu.

Selepas itu, dia mengeluarkan artikel yang secara terang mahu 'bantai' saya," katanya ketika ditemui pada majlis bicara isu-isu semasa di Dewan Besar Gedong Lalang di sini, malam ini.

Arul berkata, beliau tidak berpuas hati dengan tindakan tidak beretika penulis itu dan menyifatkan penulis terbabit pengecut kerana tidak bertemu serta mendapatkan maklum balas beliau sebelum menerbitkan artikel berkenaan.

Katanya, beliau tetap dengan pendirian bahawa isu 1MDB adalah masalah perniagaan yang dipolitikkan oleh pembangkang selain menegaskan semua masalah itu sudah diselesaikan melalui pelan rasionalisasi syarikat.

Beliau sudah menjelajah seluruh negara untuk memberi ceramah dan penjelasan berhubung isu 1MDB, selain membuat pelbagai kenyataan media bagi menjelaskan isu berbangkit.

Sementara itu, Arul pada sesi bicara berkenaan, sekali lagi menegaskan Low Taek Jho atau Jho Low, tiada kaitan dan tidak pernah bekerja dengan syarikat itu, namun pembangkang sering memainkan isu berkenaan bagi membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

Mengulas lanjut, Arul berkata Jho Low diketahui memang mempunyai hubungan yang baik dengan pihak Arab.

"Itu kelebihannya, dia kenal orang di sana, Jho Low tidak pernah menjadi pekerja 1MDB dan syarikat tidak pernah membayar sesen dana pun kepada beliau," katanya.

Berita Harian X