Khamis, 26 April 2018 | 11:56am
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Azhar Ramli
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Azhar Ramli

Pertukaran kerusi Nik Abduh kerana berpindah tempat tinggal

KOTA BHARU: Perpindahan kerusi Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ke Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mengambil kira tempat tinggalnya yang berdekatan dengan daerah itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata keputusan yang dilakukan itu turut mengambil kira hubungan kekeluargaan yang kuat di Bachok yang dilihat mampu membantu calon terbabit.

"Nik Abduh (di Bachok) ini sebab rumah dia bersebelahan dengan daerah itu, Pulau Melaka itu sempadan dengan Bachok dan dari segi sejarah sendiri arwah bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah bertanding di Bachok.

"(Selain itu) hubungan keluarga mereka pun ramai di sana, tetapi yang lebih penting bagi saya beliau (Nik Abduh) ini seorang pemimpin peringkat nasional, dia bekas Ketua Pemuda PAS sekarang ini Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, jadi dia boleh diletakkan di mana-mana sahaja," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PAS Kelantan, malam tadi.

Sebelum ini, anak kelima Allahyarham Nik Abdul Aziz itu pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai wakil rakyat PAS di Parlimen Pasir Mas yang mana kerusi itu kini digantikan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari sebagai calon baharu.

Mengulas perkembangan sama, Takiyuddin berkata secara keseluruhannya PAS Kelantan menampilkan 30 peratus muka baharu yang dicalonkan mewakili parti itu pada PRU-14 ini.

"Muka baharu ini sekitar 30 peratus tetapi muka baharu bukan bermaksud orang baru, orang sudah lama dalam PAS.

"Contoh beberapa kerusi Parlimen yang kita tidak bertanding dan memberi laluan kepada PKR pada PRU-13 dahulu, tetapi sekarang kita bertanding di kerusi Parlimen Ketereh, Machang dan Tanah Merah.

"Calon terbabit juga terdiri dari golongan profesional macam di Guchil calon kita seorang peguam dan di Kijang kita letakkan bekas calon Parlimen yang juga bekas doktor perubatan," katanya.

Berita Harian X