Selasa, 24 April 2018 | 10:18am

BN Sarawak pertaruh 15 muka baharu

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak mengumumkan 16 penyandang kerusi dikekalkan, manakala 15 muka baharu dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata enam muka baharu ditampilkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dengan Ketua Pemuda PBB Piasau, Lukanisman Awang Sauni menjadi calon termuda, pada usia 36 tahun di Parlimen Sibuti.

Lukanisman sebelum ini merupakan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Miri menggantikan Datuk Ahmad Lai Bujang yang digugurkan atas faktor kesihatan.

Muka baharu lain yang ditampilkan PBB ialah Genot @ Jeannoth Sinel di Parlimen Puncak Borneo menggantikan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit, yang meminta direhatkan, juga atas sebab kesihatan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat bertanding di Parlimen Betong sebagai konsensus pertukaran kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang memgambilalih kerusinya DUN Bukit Saban pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11).

Pengunduran Datuk Norah Tun Abdul Rahman Ya'akub di Parlimen Tanjong Manis, juga atas alasan kesihatan menyaksikan PBB menamakan jurutera perunding, Yusuf Abd Wahab, sebagai penggantinya.

Parlimen Igan pula menyaksikan pengguguran penyandang kerusi itu, Datuk Abdul Wahab Dollah, yang digantikan usahawan, Ahmad Johnie Zawawi.

PBB turut mencalonkan muka baharu wanita tunggalnya, Datuk Haniffah Hajar Taib-Alsree, anak bongsu Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, yang akan bertanding di kerusi Parlimen Mukah.

Beliau menggantikan Tan Sri Dr Mohd Leo Michael Toyad, yang sebelum ini menyatakan hasrat mahu berundur sejak mewakili kawasan itu sejak 1982.

Parti Progresif Demokratik (PDP) pula menampilkan jurutera, Subeng Mula sebagai calon baharu mereka di Parlimen Saratok, menggantikan Tan Sri William Mawan Ikom, yang kini menyertai PBB.

Yang pasti, tanggungjawab menanti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) apabila menggalas misi untuk merampas sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi yang kini ditawan pembangkang.

Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian bertanding di Parlimen Stampin, manakala

Setiausaha Agung SUPP, yang juga ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting memikul cabaran itu dengan bertanding kali kedua di kerusi Parlimen Miri.

ADUN Repok, Samuel Huang pula dipertaruhkan untuk merampas kerusi Parlimen Sarikei.

Parlimen Bandar Kuching pula menyaksikan SUPP menamakan calon wanita, Kho Teck Wan manakala Parlimen Lanang menyaksikan kelibat calon muda, Kelvin Kong.

Anak kepada Datuk Seri Dr Wong Soon Koh pula dinamakan calon BN-SUPP untuk merampas Parlimen Sibu.

Dua calon Parti Rakyat Sarawak (PRS), Rita Sarimah Insol (Selangau) dan Robert Pasang Alam (Lubok Antu) menjadi kelompok terakhir memasuki senarai, selepas kedua-dua penyandang kerusi dipecat dari parti itu kelmarin.

Senarai Calon Barisan Nasional (BN) Sarawak

  • 1. P192 Mas Gading
  • Datuk Nogeh Gumbek
    BN - PDP

  • P193 Santubong
  • Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar
    BN - PBB

  • P194 Petra Jaya
  • Datuk Seri Fadillah Yusof
    BN - PBB

  • P195 Bandar Kuching (Muka baharu)
  • Kho Teck Wan
    BN-SUPP

  • P196 Stampin (Muka baharu)
  • Datuk Dr Sim Kui Hian
    BN- SUPP

  • P197 Kota Samarahan
  • Rubiah Wang
    BN - PBB

  • P198 Puncak Borneo (Muka baharu)
  • Genot @ Jennoth Sinel
    BN - PBB

  • P199 Serian
  • Datuk Seri Richard Riot Jaem
    BN-SUPP

  • P200 Batang Sadong
  • Datuk Seri Nancy Shukri
    BN - PBB

  • P201 Batang Lupar
  • Datuk Seri Rohani Abdul Karim
    BN - PBB

  • P202 Sri Aman
  • Datuk Masir Kujat
    BN-PRS

  • P203 Lubok Antu (Muka baharu)
  • Robert Pasang Alam
    BN - PRS

  • P204 Betong (Muka baharu)
  • Robert Lawson Chuat
    BN - PBB

  • P205 Saratok (Muka baharu)
  • Subeng Mula
    BN-PDP

  • P206 Tanjong Manis (Muka baharu)
  • Yusuf Abd Wahab
    BN-PBB

  • P207 Igan (Muka baharu)
  • Ahmad Johnie Zawawi
    BN-PBB

  • P208 Sarikei (Muka baharu)
  • Samuel Huang
    BN -SUPP

  • P209 Julau
  • Datuk Joseph Salang Gandum
    BN - PRS

  • P210 Kanowit
  • Datuk Aaron Ago Dagang
    BN - PRS

  • P211 Lanang
  • Kelvin Kong
    BN-SUPP

  • P212 Sibu (Muka baharu)
  • Datuk Andrew Wong
    BN-SUPP

  • P213 Mukah (Muka baharu)
  • Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree
    BN - PBB

  • P214 Selangau (Muka baharu)
  • Rita Sarimah Insol
    BN - PRS

  • P215 Kapit
  • Datuk Alexander Nanta Linggi
    BN - PBB

  • P216 Hulu Rajang
  • Datuk Wilson Ugak Kumbong
    BN - PRS

  • P217 Bintulu
  • Datuk Seri Tiong King Sing
    BN - PDP

  • P218 Sibuti (Muka baharu)
  • Lukanisman Awang Sauni
    BN - PBB

  • P219 Miri (Muka baharu)
  • Datuk Sebastian Ting
    BN-SUPP

  • P220 Baram
  • Anyi Ngau
    BN - PDP

  • P221 Limbang
  • Hasbi Habibollah
    BN - PBB

  • P222 Lawas
  • Datuk Henry Sum Agong
    BN - PBB

KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Senarai Calon BN Sarawak bagi PRU14 di Ibu Pejabat Parti PBB Petra Jaya, Kuching. - Foto Nadim Bokhari
Berita Harian X