Isnin, 9 April 2018 | 4:01pm

Manifesto BN akur kehendak wanita

KUALA LUMPUR: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan peranan wanita sebagai ibu, isteri dan pekerja, jelas membuktikan kerajaan BN mendengar dan melayan suara wanita di negara ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata teras pertama manifesto itu adalah antara perkara yang diperjuangkan wanita BN dan UMNO sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Beliau berterima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, yang sentiasa mendengar dan meletakkan perjuangan untuk wanita dalam arus perdana dan bukan sebagai perkara sampingan.

"Terus terang saya nak beritahu, perkara ini hasil kerja keras dan berterusan Wanita BN dan UMNO. Ia tidak berlaku dan menjelma begitusaja.

"Nampaknya kerajaan mengiktiraf dan ambil berat hasil perjuangan kami sejak beberapa dekad kebelakangan ini, " katanya ketika menjadi tetamu rancangan Wanita Hari Ini,TV3, di Sri Pentas, di sini, hari ini.

Turut serta menjadi tetamu rancangan itu adalah Pengarah Pusat Kecemerlangan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Madeline Berma.

Shahrizat berkata, BN sejak dulu memberi tempat kepada wanita dan dengan manifesto untuk PRU-14 ini, akan membawa wanita negara ini ke satu era baharu untuk lima tahun akan datang.

Sementara itu, Madeline melihat Manifesto BN mencangkumi tiga peranan utama wanita di negara ini.

"Sepintas lalu,seperti diumumkan, BN berjanji sebagai ibu, peranan wanita akan terus diperkasakan dan sebagai kelompok pekerja ada disentuh mengenai peningkatan keupayaan, ekosistem dan persekitaran tempat bekerja dan kemudahan berkaitan cuti.

"Ketiga peranan wanita dalam masyarakat, BN dalam aku janjinya mahu memastikan penguasaan 30 peratus wanita di Dewan Undangan Negeri dilaksanakan.

"Saya nampak di sini ada keseimbangan dalam peranan wanita yang mahu ditunaikan BN," katanya.

Selain itu, Madeline yang juga Profesor Ekonomi di UKM, berkata penambahan dua kategori dalam pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah satu langkah mengalakkan rakyat berbelanja, yang dapat meningkatkan aktiviti ekonomi domestik.

"Ini satu langkah yang baik untuk ekonomi negara, yang akan menyediakan kehidupan lebih baik untuk rakyat, " katanya.

KETUA Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menunjukkan Manifesto Barisan Nasional ketika sidang media sempena Mesyuarat Biro Politik Wanita UMNO di Menara Dato' Onn. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X