Ahad, 4 March 2018 | 4:48pm
KETUA UMNO Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik menyempurnakan majlis penyerahan Rumah Ihsan Johor ke-28 dengan kerjasama Country Garden Pacificview (CGPV) di Kampung Pok, Gelang Patah, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

UMNO Gelang Patah cabar Kit Siang pertahan kerusi

GELANG PATAH: UMNO Bahagian Gelang Patah, hari ini, mencabar Ahli Parlimen kawasan itu, Lim Kit Siang untuk terus mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik, berkata pengundi Parlimen Gelang Patah kini sedar dan mempersoalkan ke mana perginya wakil rakyat mereka selama ini.

"Lima tahun tak jadi apa-apa di sini. Kita boleh lihat sendiri dengan jelas sebagai Ahli Parlimen, berapa kali dia (Kit Siang) bangkitkan soal Gelang Patah dalam sidang Parlimen.

"Kit Siang banyak tumpu di luar kawasan Gelang Patah sedangkan banyak isu setempat boleh dibangkitkan dalam Parlimen sebagai wakil rakyat.

"Saya percaya pengundi di Gelang Patah sudah faham siapa Kit Siang dan siapa perlu dipilih sebagai wakil rakyat pada PRU-14 nanti," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan Rumah Ihsan Johor ke-28 dengan kerjasama Country Garden Pacificview (CGPV) di Kampung Pok di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Ihsan Johor, Suhaimi Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Ihsan Johor, Farrah Faridah Baptist dan Timbalan Pengarah Urusan CGPV, Ir Syarul Izam Sarifudin.

Mohammad Khairi berkata, beliau juga mengalu-alukan nama lain daripada DAP yang mahu bertanding di Parlimen Gelang Patah kerana yakin Barisan Nasional (BN) Gelang Patah memiliki strategi berkesan merampas semula kerusi itu.

"Saya ada dengar nama lain seperti Zaid Ibrahim. Kita (BN Gelang Patah) sudah buat kajian dan ada strategi untuk menang.

"Tunggu penamaan calon nanti siapa mereka letak, kemudian tahulah kita nak guna (cara) apa untuk dapatkan semula kerusi Gelang Patah," katanya.

Berita Harian X