Ahad, 14 Januari 2018 | 4:34pm
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Dr M tidak wajar merendahkan Melayu

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan tidak memandang rendah kepada bangsa Melayu kerana beliau juga dibesarkan dalam adat budaya dan nilai hidup sama.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata Dr Mahathir juga perlu melihat kejayaan anaknya, Tan Sri Mokhzani, yang juga antara 10 tokoh perniagaan kaya yang tergolong dalam kelompok bangsa yang disifatkan malas oleh bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata berkata dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak berasas dan tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu.

"Banyak aspek kita perlu perkukuhkan termasuk menanam budaya ke arah mementingkan pendidikan kerana kemiskinan bukan harta pusaka yang akan diwarisi dari generasi kepada generasi lain.

"Sungguhpun ketinggalan, kita tidak akan meninggalkan kelompok ini kerana matlamat kita membentuk masyarakat yang tiada dalam kelompok miskin bandar, membela perjuangan bangsa dan mempertingkatkan kehidupan lebih baik.

"Misalnya masyarakat Cina begitu bermurah hati dan mereka bukan semuanya kaya raya, tetapi sanggup memberi untuk kemudahan (pendidikan) anak mereka, justeru kita juga perlu mencontohi sikap mereka," katanya.

Katanya, kerana itu kerajaan perlu terus membimbing mana-mana individu yang berpotensi, bukannya terus menyalah dan membiarkan mereka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa budaya dan nilai hidup yang dipegang masyarakat Melayu di negara ini menyebabkan kaum itu ketinggalan.

Noh ditemui selepas majlis pelancaran Program Transformasi Sosial Kejiranan Indah (My Beautiful Neighbourhood) Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di sini, hari ini.

NOH (tiga dari kiri) dan Pemimpin Tempatan Persekutuan , Datuk Yusoff HM Haniff (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Transformasi Sosial NBOS Kejiranan Indah 'My Beautiful Neighbourhood' di Apartment Mentari Court, Petaling Jaya. - Foto Aziah Azmee
NOH (tiga dari kiri) dan Pemimpin Tempatan Persekutuan , Datuk Yusoff HM Haniff (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Transformasi Sosial NBOS Kejiranan Indah 'My Beautiful Neighbourhood' di Apartment Mentari Court, Petaling Jaya. - Foto Aziah Azmee

Dr Mahathir dipetik berkata, kaum Melayu juga didapati kurang tekun bekerja, kurang rajin dan kadangkala kurang amanah.

Mengenai kesediaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberikan kerusi Parlimen Gombak untuk ditandingi Dr Mahathir, Noh menyifatkan itu adalah hak mereka.

"Mungkin Azmin kecewa namanya tidak dicalonkan sebagai Perdana Menteri, jadi jika kawasannya diberikan kepada Dr Mahathir, beliau bertanding di kawasan lain sekali gus boleh merealisasikan impian jadi Perdana Menteri jika Parlimen Gombak ditawan BN.

"Apa yang lihat PH ini takut bayang-bayang sendiri akan (kekal) bertanding di sesuatu kawasan tidak lebih daripada dua kali," katanya.

Berita Harian X