Selasa, 9 Januari 2018 | 10:14pm
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin. - Foto Asyraf Hamzah

Tolak wayang pakatan pembangkang

aminridzuan@bh.com.my

KUANTAN: Rakyat perlu menolak sepenuhnya gabungan parti pembangkang yang dilabel sebagai pakatan wayang kerana tidak memberi sebarang manfaat untuk negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata parti gabungan pembangkang kini dianggap hanya bermain wayang yang kononnya menunjukkan kesatuan kukuh sedangkan realiti sebenarnya adalah sebaliknya.

Timbalan Pengerusi UMNO Pahang itu juga berkata, dakyah kononnya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berbaik antara satu sama lain adalah satu lakonan hebat untuk mengaburi mata rakyat walaupun sebenarnya kedua-dua mempunyai perancangan tersendiri melihat kepada sejarah permusuhan mereka.

"Pakatan wayang ini tidak mampu bertahan, dulu Dr Mahathir kata Anwar penggantinya sebagai Perdana Menteri tetapi akhirnya beliau membuangnya dengan cara sedemikian rupa.

"Anwar pula pernah bangkitkan mengenai kekayaan anak-anak Mahathir. Kita tunggu dan lihat sejauh mana mereka mahu bermain wayang sesama sendiri...kita semua tahu Dr Mahathir mahu anaknya (Datuk Seri Mukhriz) menjadi Perdana Menteri dan bukan orang lain," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Mohd Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh berkata, parti dan ahli pakatan pembangkang dilihat sanggup mengetepikan prinsip perjuangan masing-masing bagi mencapai cita-cita peribadi serta menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Dulu mereka memaki hamun Dr Mahathir dan sekarang mereka peluk cium dia, ini bukti jelas pemimpin parti pembangkang tidak ada prinsip serta maruah.

"Saya yakin ramai ahli PKR sekarang berduka lara apabila Dr Mahathir diangkat calon Perdana Menteri pakatan pembangkang, perjuangan dalam PKR yang diwujudkan bagi menentang Dr Mahathir di atas tindakannya terhadap Anwar hanya sia-sia," katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat harus menolak pemimpin dan gabungan pembangkang yang tidak berpegang kepada prinsip asal perjuangan mereka terutamanya untuk menjatuhkan Dr Mahathir.

Berita Harian X