Isnin, 8 Januari 2018 | 1:10pm
TUN Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengangkat tangan selepas diumumkan sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan pada Konvensyen Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, semalam. - Foto Aizuddin Saad
TUN Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengangkat tangan selepas diumumkan sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan pada Konvensyen Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, semalam. - Foto Aizuddin Saad

Kelebihan kepada DAP, PPBM

KUALA LUMPUR: Percaturan politik gabungan pakatan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dimuktamadkan dalam konvensyen semalam, dilihat hanya memberi kelebihan kepada DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau lebih tepat dinasti Lim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi 'Muafakat Pakatan Harapan' ditandatangani Dr Mahathir selaku Pengerusi PPBM; Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, PPBM mempunyai kelebihan dari segi jawatan Perdana Menteri, manakala DAP dari segi agihan kerusi.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata muafakat itu hanya memberi kelebihan kepada Dr Mahathir bagi jawatan Perdana Menteri kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibebaskan 8 Jun ini terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk membolehkan dia bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, satu jangka masa yang panjang dalam politik.

Beliau berkata, kompromi antara Dr Mahathir dan Ketua Umum PKR itu adalah semata-mata demi mencapai cita-cita politik masing-masing kerana hakikatnya kedua-dua individu itu tidak boleh bersama.

"Tempoh lama juga untuk Anwar mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan jika diperkenankan pengampunan itu, ia akan menjadi pengampunan pertama untuk kes liwat

"Saya juga berasakan tidak mudah untuk Dr Mahathir melepaskan jawatan 'interim' Perdana Menteri. Jika ditakdirkan Dr Mahathir meninggal dunia, akan berlaku pergolakan antara empat parti untuk merebut jawatan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ainul Adzellie berkata, walaupun atas kertas, PPBM paling banyak diberi kerusi iaitu 52 kerusi, manakala DAP hanya 35 kerusi, ia hanyalah agihan kerusi di Semenanjung.

Beliau berkata, menerusi percaturan politik disifatkan percaturan percubaan atau `test market' rakyat didendangkan kononnya PPBM paling banyak bertanding kerusi, namun hakikatnya DAP yang mendominasi kerusi gabungan pakatan pembangkang.

"DAP mempunyai permainan licik kerana angka itu tidak dicampur dengan kerusi Parlimen yang bakal ditandingi DAP di Sabah dan Sarawak.

"Sudah tentu jika dicampur kerusi Parlimen yang bakal ditandingi DAP di Sabah dan Sarawak, jumlah keseluruhan kerusi DAP bertanding adalah melebihi PPBM. Harus diingat PPBM belum bertapak di Sabah dan Sarawak berbanding DAP," katanya.

Katanya, kenyataan Setiausaha Agung gabungan pakatan pembangkang, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa tidak ada `big brother' dalam pakatan itu juga sekadar menjaga hati PAN.

Menurutnya, percaturan itu menyaksikan PAN menjadi parti pembangkang paling rugi kerana mendapat agihan sedikit sedangkan mereka lebih `senior' berbanding PPBM dalam gabungan pakatan itu.

Mengulas lanjut, Ainul Adzellie berkata, beliau yakin pimpinan gabungan pakatan pembangkang khususnya PKR tidak yakin Anwar akan mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya keyakinan itu ditonjolkan untuk meraih keyakinan rakyat terhadap percaturan politik pembangkang.

"Dengan menyatakan Anwar akan diampunkan adalah satu strategi untuk meyakinkan rakyat bahawa Anwar adalah Perdana Menteri sebenar dan Dr Mahathir hanyalah Perdana Menteri sementara (interim).

"Tidak pernah lagi ada Perdana Menteri sementara dalam mana-mana sistem pentadbiran di dunia," katanya.

Berita Harian X