Sabtu, 30 Disember 2017 | 1:00pm

PPBM mahu Tun M teraju pakatan

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu Tun Dr Mahathir Mohamad memainkan peranan utama dalam kerajaan pakatan, jika gabungan itu menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemilihan bekas Perdana Menteri keempat itu dibuat bersandarkan pengalamannya memimpin negara selama 22 tahun.

"Kita tidak ragu-ragu bahawa Tun (Mahathir) bersama-sama dengan pimpinan pakatan yang lain, akan meletakkan Malaysia kembali di landasannya yang betul dan sekali lagi memimpin negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekarang adalah masanya kepada pakatan untuk mengumumkan barisan kepimpinan kerajaan pakatan itu dengan mengambil kira kehendak dan cita rasa rakyat.

Muhyiddin berkata, ketika ini jugalah pakatan perlu memberitahu rakyat apa tawaran gabungan ini termasuk kepada Sabah dan Sarawak.

"Manifesto ini boleh kita umumkan secara berperingkat. Saya pasti rakyat ingin tahu apa yang pakatan boleh tawarkan kepada mereka, jika kita diberi mandat dalam pilihanraya umum akan datang," katanya,

Yang turut hadir, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu serta Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, Biro Politik PKR setuju dengan cadangan menjadikan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan sebagai Perdana Menteri sementara, dan Wan Azizah sebagai timbalannya, seandainya pakatan itu menang pilihan raya umum nanti.

Namun, laporan itu turut menyebut, persetujuan itu datang dengan syarat, Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara dalam tempoh enam hingga 12 bulan gabungan pembangkang itu berkuasa.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Tian Chua seperti dilaporkan berkata, tiada sebarang persetujuan dicapai dalam mesyuarat biro mengenai calon Perdana Menteri pilihan PKR.

PENGERUSI PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, berucap ketika Perhimpunan Agung Tahunan Pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia di IDCC, Shah Alam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X