Sabtu, 9 Disember 2017 | 6:43pm
NAJIB dan Ahmad Zahid ketika sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Sairien Nafis

Ahmad Zahid kawan yang setia

KUALA LUMPUR: Bait-bait lagu Datuk DJ Dave bertajuk 'Kawan Yang Setia' dijadikan Datuk Seri Najib Razak sebagai satu perlambangan untuk menggambarkan hubungan akrab dengan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jika sebelum ini Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri menyatakan secara terbuka penghargaan kepada Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden pada pembentangan Bajet 2018, Oktober lalu, hari ini Najib menggunakan pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 untuk menyuarakan perkara itu.

"Saya masih ingat pada bait-bait lagu Datuk DJ Dave...jangan suruh saya menyanyi," katanya yang kemudiannya mengungkapkan lirik lagu itu.

Lirik lagu itu:

Sukarnya mencari
Kawan yang setia
Yang sanggup menolong
Di masa kau susah
Kawan waktu senang
Tak payah kau cari-cari
Di mana saja
Mudah kau jumpa
Kawan yang setia
Ibarat cahaya
Menjadi penerang
Masa kegelapan
Dia tak tergamak
Biarkan engkau sendiri
Nasibmu pasti
Akan dibela
Pengalaman ku di masa yang t'lah lalu
Buat ku sedar
Tentang hidup ini
Waktu ku senang
Ramai teman-teman dan saudara
Tapi bila aku susah
Mereka menjauh

Perdana Menteri berkata, beliau cukup senang hati kerana mempunyai timbalan yang akrab, lagi setia dan sebati dengannya dan hubungan itu terjalin sekian lama sejak 1986 hingga kini.

Berkongsi peristiwa pada 1988 ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO, Najib berkata beliau tetap mempertahankan prinsip bersama kawan ketika senang dan susah apabila turun merasmikan Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk yang ketika itu Ahmad Zahid adalah Ketua Pemuda bahagian berkenaan.

"Ketika itu Zahid ditekan dengan begitu dahsyat oleh pimpinan bahagian ketika itu dan saya diminta oleh Zahid untuk tolong merasmikan Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk.

"Saya pun beranikan diri pergi sana, saya tahu pimpinan bahagian menentang, saya tak kisah, saya kata apa nak jadi jadilah, saya tetap pertahankan sahabat saya dan saya telah beri ucapan secara terbuka menyokong beliau begitu sengit persaingan itu.

"Akhirnya Zahid menang dengan majoriti 11 undi, kebetulan nombor bertuah saya, sampai Ketua UMNO Bahagian pada masa itu 'complaint' pada Timbalan Presiden, kata ucapan Ketua Pemuda tak guna sama sekali. Saya tak peduli, prinsipnya, senang susah mesti bersama dengan kawan," katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, ibarat putaran roda, dua tahun lalu Timbalannya, (Tan Sri Muhyiddin Yassin) membuat angkara dan Ahmad Zahid tampil mempertahankannya.

"Itu orang kata, 'irony of history' sebab Zahid tak lupa kawan sebab itulah parti UMNO pulih dengan kekuatan baharu," katanya.

Berita Harian X